Baru-baru ini, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad (Tun M) telah meluahkan pendapat peribadinya sendiri mengenai situasi yang sedang dilalui oleh Proton. Ia berhubung dengan pencarian rakan kongsi asing, di mana terdapat dua pengeluar kenderaan besar dunia iaitu Geely dari China dan PSA Group dari Perancis berminat untuk membida.

Malahan Tun M yang juga bekas pengerusi Proton tidak bersetuju dengan idea pencarian rakan kongsi ini, malah turut menyalahkan Datuk Seri Najib Tun Razak dalam situasi sukar yang dihadapi Proton ini.

Ekoran kenyataan yang dilemparkan itu, Najib telah mempertahankan cadangan kerajaan untuk Proton mempunyai rakan kongsi asing ini. Biar pun harus mempunyai rakan kongsi, namun ini tidak bermakna Proton akan dijual kepada pihak asing, ujarnya, menerusi laporan The Star.

“Tujuan Proton memerlukan rakan kongsi asing ini adalah untuk menerokai teknologi baharu dan meraih pasaran yang lebih luas. Apabila jumlah jualan lebih meluas, sekaligus membuka lebih banyak peluang pekerjaan di Pekan dan Tanjung Malim. Malahan rakyat kita juga menerima faedahnya,” ujar Najib yang ditemui pihak media sewaktu majlis Negaraku: Komuniti 1Malaysia baru-baru ini.

Tambahnya lagi, “Kita tidak melayan sebarang berita penuh emosi dan palsu. Tapi apa yang kita lakukan ini adalah yang terbaik untuk masyarakat kita.” Beliau turut berkata, bekas pemimpin itu telah melakukan banyak kesilapan ketika mengendalikan Proton. “Saya tidak mahu berkata mengenai perkara ini, tetapi kita akan memperbaikinya,” ujarnya lagi.