Dalam jawapan balas terhadap komen Tun Dr Mahathir berkaitan kebarangkalian pegangan dalam Proton akan dijual kepada syarikat Geely dari China, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz menyatakan bawaha pengeluar kenderaan nasional itu merupakan “sebuah projek ‘gajah putih’ dan gagal”.

Dalam sebuah laporan oleh NST, beliau berkata kegagalan itu telah membebankan kerajaan, dan ia tidak boleh lagi menerima sokongan lanjut. “Ia sebuah projek yang gagal. Mereka meminta kerajaan menyediakan dana. Sepanjang tempoh berkenaan, berbilion ringgit telah diperuntukkan. Bagaimana ia boleh menjadi sebuah projek yang berjaya sekiranya setiap tahun mereka akan meminta wang daripada kerajaan,” jelas beliau.

“Bagi saya, ia sebuah projek ‘gajah putih’. Kita mewarisinya dari Tun Mahathir dan sekiranya ia gagal, beliau akan menyalahkan kita, mengatakan kita telah gagal,” sambung beliau, menyatakan bahawa jualan pegangan dalam Proton akan membantu mengatasi kerugian yang dialami syarikat itu kini.

“Kita perlu mencari jalan bagaimana untuk menyelamatkannya dan dengan syarikat China memiliki sebahagian pegangan di dalamnya, saya fikir ia sesuatu yang baik. Kita perlu memikul beban yang ditinggalkan dan kini kita tak lagi dapat memberikan bantuan kepada syarikat berkenaan. Satu daripada cara untuk mengatasi masalah ini ialah dengan menjual sebahagian pegangannya. Jadi, kegagalan itu bukan disebabkan oleh kerajaan, tetapi disebabkan ia projek kesayangan beliau,” tambahnya.

Proton sebelum ini menyatakan mereka akan mengumumkan rakan strategik asing baru menjelang pertengahan tahun ini. Laporan juga ada menyatakan bahawa kumpulan PSA dari Perancis dan Geely dari China sangat berminat dengan peluang berkenaan.