Generasi ke-11 Toyota Corolla (dikenali sebagai Corolla Altis di Malaysia) telah pun berada lebih dari empat tahun dalam pasaran, dan sudah sepatutnya model gantiannya muncul tidak lama lagi. Tidak hairan juga imej spyshot untuk model baharu tersebut akan muncul buat masa sekarang.

Imej yang dijumpai oleh jurugambar intipan kali ini dikatakan unit ujian versi produksi Corolla generasi baharu yang bakal diperkenalkan sebagai model konsep dan akan didedahkan pada hujung tahun ini. Model baharu berkenaan juga dikatakan bakal diperkenalkan sebagai model global, berbanding model sedia ada ditawarkan dengan variasi dan nama berbeza pada pasaran berbeza.

Ia juga akan dibina berasaskan platform modular terbaharu Toyota iaitu platform TNGA, yang juga menjadi asas kepada Prius generasi baharu. Laporan juga mengatakan platform baharu Toyota ini tidak semestinya bakal menjadikan ia lebih ringan, tetapi yang pasti casis berkenaan akan dibina lebih tegar, bagi memberikan aspek NVH serta pemanduan dan pengendalian yang lebih baik. Ia juga bakal diberikan sistem suspensi yang lebih keras yang disasarkan untuk mendapatkan “pengalaman pemanduan yang lebih baik”.

Dimensi Corolla baharu ini juga masih samar, tetapi ia dijangka bakal dibina lebih besar dari model sedia ada, dengan jarak roda lebih panjang bagi memberikan ruang kabin yang lebih luas. Untuk enjin pula, model generasi seterusnya ini dijangka akan menggunakan unit januakuasa global, dengan enjin 1.5 liter tiga-silinder bakal diberikan pada model paling asas. Enjin dengan suapan turbo juga dijangka bakal ditawarkan.

Bagi enjin 1.5 liter tiga-silinder yang disebutkan tadi, ia dijangka bakal menghasilkan kuasa 100 hp, manakala enjin berkuasa 180 hp dengan bantuan pengecas turbo bakal diberikan pada model pasaran Amerika Syarikat, menurut sumber pelbagai laporan.

Untuk model pasaran Eropah dan lain-lain pula, enjin 1.4 liter diesel dengan peningkatan dilakukan pada kepala silinder bagi memberikan kecekapan bahan api dilaporkan bakal ditawarkan. Perbezaan model antara pasaran pula dikatakan akan dilakukan menerusi penawaran sistem transmisi yang akan diberikan pada kesemua jenis enjin tersebut.