Pelancaran BMW 5 Series G30 di Malaysia hanya akan berlaku esok, jadi BMW Malaysia mengeluarkan gambar teaser awal sebagai ‘pemanas’- satu gambar menunjukkan lengkuk cermin Hofmeister yang sudah menjadi tanda unik BMW manakala satu lagi adalah kuncinya.

Kunci bagi model ini yang dipanggil sebagai Display Key mempunyai skrin sesentuh seperti telefon pintar dan ia memaparkan pelbagai informasi berkenaan kereta tersebut. Ia datang secara standard pada model 7 Series sebelum ini di Malaysia, tetapi penawarannya pada 5 Series adalah menarik, kerana kereta sports i8 yang berharga RM1.2 juta pun tidak mempunyai kunci ini.

Selain kunci tersebut, perkara lain seperti varian dan kemasan untuk G30 masih belum dapat dipastikan. Di pasaran lain, sedan eksekutif ini datang dengan pelbagai teknologi termasuk fungsi pemanduan semi-automatik, Remote Parking, Remote View 3D, pengecas pintar tanpa wayar dan sambungan Apple CarPlay dan Android Auto. Walaubagaimanapun, tidak banyak kelengkapan ini dijangka akan ditawarkan pada model di Malaysia.

Semasa pelancarannya nanti, kami menjangkakan barisan G30 ini akan terdiri daripada model 520d, 530i dan mungkin juga 540i sebagai varian paling tinggi. Model 520i yang mempunyai kurang kuasa berbanding 530i, tetapi menggunakan enjin 2.0 liter sama juga mungkin akan tiba bersama model 530e plug-in hybrid.

Baca pengalaman kami memandu BMW 5 Series G30 lebih awal di sini.