Satu-satunya imej yang dipercayai dari model Renault Megane RS kini sedang beredar diinternet. Gambar yang bocor itu menunjukkan bahagian belakang model hatchback yang bakal diperkenalkan tahun ini, dan menjadi gambar pertamanya yang tidak diselindung. Renault sport sebelum ini pernah menampilkan teaser, tetapi dengan kain litup.

Dibandingkan dengan Megane GT sedia ada – yang ditala oleh bahagian prestasi pengeluar dari Perancis itu, namun belum sepenuhnya jentera RS – Megane RS menampilkan ekzos yang besar tunggal di tengah dengan paip berkembar sebagai sambungan (versi GT mempunyai ekzos berkembar). Lubang trapezoid ditempatkan pada bahagian diffuser dan bampar yang lebih besar, dengan dua corong melintang dibucunya. Badannya juga lebih lebar, dari apa yang dapat dilihat.

Megane RS terbaru ini akan menjadi pesaing yang sama padan bagi Focus RS dan Honda Civic Type R. “Jenama kami bukan tentang faktor agresif. Kami cuba untuk mempunyai produk barkuasa, tetapi ringkas dengan bentuk yang tidak terlalu “keras”. Ini apa yang cuba kami capai melalui RS seterusnya. Ia lebih payah daripada menjadi agresif. Untuk mendapatkan imbangan yang betul adalah sukar, tetapi saya fikir kami sudah mencapainya,” jelas ketua pereka Renault, Stephane Janin kepada Autocar.

Menurut majalah automtotif Britain itu, Megane RS seterusnya akan dilengkapi sistem AWD dengan enjin 2.0 liter turbo dengan kuasa lebih daripada 300 hp (versi terdahulu hanya 275 hp dan 0-100 km/j dalam 5.8 saat), kotak gear enam kelajuan (EDC klac berkembar akan ditawar sebagai pilihan buat pertama kali) dan pacuan roda depan. Ciri ini akan mendahului Focus RS, Volkswagen Golf R dan Audi RS3 Sportback sebagai satu-satunya yang memiliki AWD.