Setelah reda dari trend memandu lawan arus, kini kami menerima satu lagi video baharu memaparkan aksi pemanduan bahaya sedemikian. Video yang disiarkan oleh pemilik akaun Facebook bernama Khairi Razif berkenaan telah dimuat naik pada 5 Mei lalu, memaparkan kejadian yang berlaku pada sehari sebelumnya di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2), persimpangan Jabor menghala ke Kuala Terrenganu.

Khairi bukan sahaja menyiarkan dash cam yang merakam bahagian hadapan, malah turut menyertakan video yang merakam bahagian belakang. Dalam kedua-dua video berkenaan jelas memaparkan sebuah Honda Prelude generasi keempat (siri BB) berwarna merah muncul dari lorong kanan dalam keadaan melawan arus, tidak lama selepas sebuah Proton Exora memotong lori yang berada pada lorong perlahan.

Mujur Proton Exora berkenaan dan juga Honda Prelude tersebut dilihat tidak memandu dengan laju. Jika tidak, berkemungkinan insiden seperti yang membabitkan Proton Gen2 yang terjadi di Pulau Pinang akan berulang.

Sekali lagi dingatkan, sentiasalah berhati-hati ketika memandu. Tahap defensif kita di lorong kanan bukan sahaja perlu mengelakkan kemalangan yang disebabkan golongan yang menukar lorong tanpa memberi isyarat, mereka yang melawan arus juga perlu diberi perhatian.