Nissan rai ulangtahun ke-60 model ikonik Skyline dengan poster Hokusai – tampil setiap generasinya

Nissan Skyline, nama yang begitu ikonik dalam industri automotif Jepun. Nama berkenaan telah bermula sejak tahun 1957 lagi, ketika itu Skyline dibina oleh pengeluar asalnya iaitu Prince Motor Company (PMC). Tahun ini, nama Skyline telah pun genap 60-tahun, dan Nissan meraikannya dengan menerbitkan siri poster yang menampilkan generasi pertama Skyline, hingga ke generasi sedia ada.

Poster-poster ini disiarkan oleh laman Jepun, LeVolant Boost, menampilkan setiap generasi Skyline dengan latar belakang tempat-tempat terkenal di Jepun seperti Pergunungan Fuji dan hasilkan seperti karya pelukis silam Jepun – Hokusai. Laman berkenaan turut menyebut bahawa poster ini akan dipamerkan di lokasi-lokasi pertandingan gusti Grand Sumo sekitar Jepun bermula 14 hingga 28 Mei ini.

Untuk pengetahuan anda, siri poster ini adalah untuk meraikan jenama Skyline sahaja, tanpa melibatkan nama GT-R yang telah dipisahkan bermula dari model R35. Seperti yang disebutkan tadi, generasi pertama Skyline dibina oleh PMC pada tahun 1957 dengan kod casis ALSI. Setelah berberapa perubahan dilakukan dan melahirkan pelbagai versi, model generasi pertama ini dihentikan pada tahun 1964.

Generasi kedua Skyline masih lagi dibina di bawah payung PMC. Dengan diberikan kod casis S50, model ini direka oleh ‘The Godfather of Skyline‘ Shinichiro Sakurai pada tahun 1963. Pada tahun 1964 pula, Sakurai mula memadankan enjin enam silinder pada Skyline ini, digelar Skyline GT – model yang dibina untuk membolehkannya berlumba di Grand Prix Jepun, bersaing dengan Porsche 904. Disebabkan enjin yang lebih panjang, Sakurai terpaksa memanjangkan lagi bahagian hadapan jentera berkenaan sebanyak 200 mm dari model biasa.

Versi paling berkuasa Skyline generasi kedua ini dikenali dengan kod casis S54B menampilkan penggunaan tiga karburator perlumbaan Weber DCOE 40 bersama omboh, rod penghubung dan aci engkol yang diperkuat, transmisi manual lima-kelajuan nisbah-rapat dan juga LSD pada gandar belakang.

Skyline mula dikenali sebagai sebuah model keluaran Nissan menerusi model generasi ketiganya setelah PMC disatukan dengan Nissan. Model ini hadir dalam pasaran pada tahun 1968 dengan kod casis C10. Model ini juga merupakan generasi pertama Skyline yang diberikan lencana GT-R, menampilkan enjin S20 2.0 liter DOHC enam-silinder sebaris dengan tiga buah karburator perlumbaan sebagai ciri standard. C10 juga sering dirujuk dengan nama ‘Hakosuka’ di mana hako bermaksud kotak dan suka sebenarnya sebutan Sky (dari nama Skyline) dalam pelat Jepun.

Pada 1972, generasi keempat Skyline membuat penampilan. Model ini mula direka dengan bentuk badan ‘botol coke’, cuba menyaingi rekaan kereta-kereta American Muscle ketika itu seperti Dodge Charger dan sebagainya. Dikenali dengan kod casis C110, model ini juga turut digelar sebagai ‘Kenmeri Skyline’ – merujuk kepada watak Ken dan Mary yang dicipta untuk mempromosikannya. Versi GT-R juga hadir pada generasi ini menggunakan enjin S20 yang sama, tetapi produksinya terpaksa dihentikan dalam masa yang singkat kerana krisis bahan api yang melanda pada era tersebut (hanya 197 unit dihasilkan, menjadikan ia GT-R paling rare dalam sejarah!).

Skyline terus dihasilkan pada tahun 1977 (C210/Skyline Japan), 1981 (R30/Paul Newman Skyline/Iron Mask) dan 1985 (R31), tetapi ketiga-tiga generasi ini tidak lagi diberikan lencana GT-R. Hanya model 2000 GT-S diberikan sebagai varian paling berkuasa. Model R32 hadir pada tahun 1989. Variasi model GT-S masih lagi kekal, tetapi Nissan telah mengambil keputusan untuk membawa semula GT-R dalam barisan model Skyline.

R32 mula menggegar dunia perlumbaan bukan sahaja kerana enjin RB26DETT 2.6 liter turbo berkembar yang sangat berkuasa, tetapi kemampuan sistem pacuan semua roda Attesa ETS-Pro yang dilengkapkan membuatkan ia hampir mustahil untuk dikejar di dalam litar – akhirnya ia diharamkan terus dari menyertai perlumbaan Australian Touring Car Championship (ATCC) pada tahun 1993 setelah menjuarai kejohanan tersebut tiga tahun berturut-turut dari 1990 hingga 1992.

Nissan rai ulangtahun ke-60 model ikonik Skyline dengan poster Hokusai – tampil setiap generasinya

Versi GT-R terus hadir bersama Skyline generasi seterusnya iaitu R33 pada tahun 1993 dan juga R34 pada tahun 1998. Namun untuk generasi ke-11 pada tahun 2001, Skyline dan GT-R mula dipisahkan. Skyline dikenali dengan kod casis V35 (hadir dengan bentuk badan coupe 2-pintu dan sedan 4-pintu), manakala GT-R dikenali dengan kod casis R35, tetapi hanya membuat kemunculan sulung pada tahun 2007. V35 juga dijual diluar Jepun secara rasmi tetapi dengan nama Infiniti G35.

Generasi ke-12 Skyline terus dihasilkan pada tahun 2006, kali ini dengan kod casis V36 dan nama Infiniti G35 terus digunakan untuk pasaran luar Jepun. Skyline generasi terakhir pula hadir pada tahun 2014 dengan kod casis V37. Pasaran Malaysia turut menerima model V37 ini, tetapi sama juga seperti pasaran luar Jepun lain, ia dikenali sebagai Infiniti Q50 pada pasaran tempatan.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required