Jika perincian berkenaan hatchback berprestasi tinggi sebenar Hyundai i30 N sebelum ini didedahkan secara tidak sengaja oleh pengeluar kereta dari Korea itu, kini Hyundai mendedahkan maklumat tersebut secara rasmi kepada CarAdvice.
Hyundai i30 yang menerima enjin lebih berkuasa serta talaan dari divisi prestasi tinggi Hyundai N ini akan membuat kemunculan sulungnya pada hujung tahun ini dan hanya dilengkapi dengan kotak gear manual enam-kelajuan.
Menurut pengurus senior perancangan produk Hyundai Australia, Andrew Tuitahi, model ini juga bakal diberikan transmisi klac berkembar lapan kelajuan dengan klac jenis basah tetapi hanya akan diperkenalkan dua tahun selepas itu.
“Kami telah pun mempunyai kotak gear klac berkembar jenis basah lapan-kelajuan yang dibina oleh kami sendiri seperti yang telah dinyatakan sebelum ini. Tetapi kami masih baru dalam segmen ini, dan jika kami mahu menawarkan hot hatch asli, ia perlu bermula dengan manual terlebih dahulu,” kata Tuitahi.
“Kami sudahpun mempunyai transmisi klac-berkembar kami sendiri pada Kia Sorento Diesel, dan juga kereta N (RN30 Concept) dengan versi 380 bhp bersama pacuan semua-roda, dan tukarannya laju serta lancar, sebagai sebuah kotak gear automatik,” kata Albert Biermann, ketua ujian kenderaan dan pembangunan prestasi tinggi Hyundai.
Biermann yang juga bekas naib presiden kejuruteraan BMW M berkata, “Transmisi serba baharu tersebut juga akan digunakan pada semua barisan model Hyundai dan Kia, jadi kami bermotivasi tinggi untuk menyempurnakannya sebelum ia diproduksi secara besar-besaran.”
Untuk kotak gear manual enam-kelajuan yang digunakan pada model berprestasi ini pula, ia sebenarnya diambil dari i30 standard tetapi telah diberikan talaan semula termasuk corak penukaran gear telah diubah bagi menjadikan ia lebih tepat, dan diberikan klac kerja-berat untuk ketahanan yang lebih baik.
Hyundai bukan hanya membina sendiri transmisi klac berkembar untuk i30 N ini, malah sistem breknya juga – mereka memilih untuk tidak menggunakan sistem brek berprestasi tinggi yang sudahpun terdapat dalam pasaran sedia ada seperti Brembo.
“Ia bukan sistem brek yang sofistikted seperti yang anda bayangkan dari sebuah hatchback berprestasi tinggi, sebaliknya, kami menggunakan sistem sedia ada dan mengubahsuainya untuk mendapatkan feel brek, manakala brek pad berlainan pula digunakan untuk memadankan karekter kereta ini,” jelas Biermann dan manambah, “Semuanya adalah seimbang; brek, kotak gear, bagaimana pengendaliannya, unit janakuasa – ia perlu ada harmoni.”
Tiga video teaser i30 N telah disiarkan sebelum ini iaitu ujian litar memperdengarkan bunyi enjinnya yang begitu mengujakan, ujian musim sejuk yang menampilkan pemandu WRC mereka iaitu Thierry Neuville memandu jentera berkenaan pada permukaan salji, dan terakhir ujian serta talaan yang dilakukan di jalan berliku UK.
“Hyundai N bermaksud Namyang (pusat R&D Hyundai di Korea) dan ia juga bermaksud Nurburgring. Kami sukakan selekoh dan di sini terdapat banyak selekoh yang seronok dan mencabar. Di UK ini kami menguji prototaip i30 N dan kami perlu pastikan pada jalan raya yang mencabar di UK ini prestasi pemanduannya juga cukup selesa untuk kegunaan harian,” kata Biermann yang membayangkan pengendalian saingan VW Golf GTI ini bukan sahaja dapat digunakan sepenuhnya pada jalan berliku sedemikian, malah turut mempamerkan prestasi yang baik pada permukaan jalan yang teruk.
GALERI: Spyshot Hyundai i30 N
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.