Bagaimana Geely pulihkan situasi dan keadaan Volvo?

Bagaimana Geely pulihkan situasi dan keadaan Volvo?

The new Volvo XC60

Sekitar 2010, Geely menandatangani perjanjian untuk membeli jenama Volvo yang ketika itu milik Ford. Nilai yang dipersetujui waktu itu ialah $1.8 bilion – ia menjadi transaksi pembelian terbesar dalam industri automotif bagi pasaran seberang laut syarikat dari China itu.

Walaupun begitu, nilai berkenaan jauh lebih rendah berbanding ketika Ford mengambil alih Volvo pada 1999; pengeluar kenderaan dari Amerika tersebut membelanjakan sebanyak USD $6.5 bilion untuk tujuan itu.

Geely, sebuah syarikat yang lebih kecil ketika itu, tentunya sangat bersyukur dengan krisis ekonomi yang melanda dunia, yang sekali gus memberi kelebihan kepada syarikat kecil sepertinya untuk memanfaatkan situasi terdesak yang dialami industri automotif ketika itu.

Pengambil alihan itu juga menandakan permulaan baru serta pembuka jalan bagi Geely dipentas automotif antarabangsa. Kedua-dua syarikat sudah memulakan perbincangan dua tahun sebelumnya, ketika Geely masih belum begitu dikenal di pasaran luar China.

Bagaimana Geely pulihkan situasi dan keadaan Volvo?

Pengasas dan pengerusi Geely, Li Shufu ketika memberi taklimat kepada media sebaik sahaja perjanjian itu dimeterai, berkata; “Hari ini menjadi sebuah penanda aras baru bagi sejarah Geely.” Lebih penting adalah penjelasan susulannya – bahawa Volvo akan kekal ditadbir dan diurus secara berasingan (daripada Geely), dan akan kekal berpusat di Sweden. Ini adalah seperti apa yang dilaporkan oleh Reuters tentang perkembangan terbabit.

Apa jadi kepada Volvo selepas pengambil alihan itu? Jika merujuk kepada angka jualan, pada tahun 2009 sebelum pengambil alihan itu selesai sepenuhnya, angka jualan yang dicatatkan tahun itu ialah sebanyak 335,000 unit.

Namun, pada 2016, dengan Geely menyokong sepenuhnya keputusan yang diambil Volvo untuk melangkah lebih maju, angka jualan naik agak ketara kepada 534,000 unit kenderaan. Ini dicapai hanya dalam tempoh enam tahun selepas mengambil alih jenama Sweden berkenaan.

Apa yang menyumbang kepada perkara ini? Jika diperhatikan dengan cermat, model-model baru yang diperkenalkan oleh Volvo selepas itu semuanya berdaya saing dari aspek rekaan dan teknologi (termasuk elektrik dan hibrid) – semuanya berada ada tahap kematangan serba baru, menepati keperluan pasaran bukan sahaja ketika ini, tetapi juga pasaran masa hadapan.

Bagaimana Geely pulihkan situasi dan keadaan Volvo?

Dua model yang perlu disebutkan dan sudah tidak asing lagi di Malaysia adalah SUV Volvo XC90 serta sedan dan wagon mewah, Volvo S90/V90. Ini adalah contoh kenderaan generasi baru yang dihasilkan Volvo untuk pasaran global – tidak hanya untuk Eropah atau Amerika.

Tidak lupa juga, selain di Sweden, model plug-in hibrid XC90 turut dipasang di Malaysia. Negara ini menjadi satu-satunya tempat dengan kelengkapan pemasangan kederaan berteknologi tinggi itu di luar Sweden. Dari satu sisi, ini juga mungkin menjadi satu daripada arah tuju Geely untuk melebarkan sayapnya di pasaran ASEAN, melalui Malaysia.

Begitu juga dengan barisan model terkini dan pernyataan arah tuju untuk masa depan Volvo, yang kerap kami laporkan melalui laman ini sebelumnya. Misalnya, model baru XC60 yang juga menampilkan lanjutan kecemerlangan teknologi keselamatan dari Sweden, serta model XC40 yang lebih kompak, tambahan pula fokus terhadap kenderaan elektrik sepenuhnya yang sedang dibangunkan.

Bagaimana Geely pulihkan situasi dan keadaan Volvo?

Kini dengan Geely tiba untuk mengubah situasi Proton, apa yang boleh kita harapkan? Pertanyaan ini hanya masa yang boleh menjawabnya. Tetapi, jika menurut Geely sendiri, syarikat itu menggariskan beberapa perkara yang akan dilakukannya terhadap Proton.

Antaranya, ia akan mengekalkan seperti sedia ada, dengan kepakaran dan kelengkapan untuk R&D, rekaan dan pengeluaran di Malaysia. Sebagai tambahan, Geely akan menyediakan sumber, pengetahuan dan pengurusan global untuk dimanfaatkan oleh Proton.

Matlamat Geely adalah untuk menghidupkan semua Proton; menjadikannya jenama kenderaan nombor satu di Malaysia sendiri, begitu juga dipasaran Asia Tenggara. Sama-sama kita lihat dan nantikan perkembangan seterusnya daripada episod baru ini.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required