Lagi susulan berkenaan Zhejiang Geely yang kini sah sebagai rakan strategik luar (FSP) untuk Proton, laporan The Star menyebut menteri perdagangan dan industri kedua, Datuk Seri Ong Ka Chuan berkata, Geely bakal menjadikan Malaysia sebagai hab pengeluaran kereta jenama Sweden miliknya iaitu Volvo untuk pasaran rantau ASEAN menjelang 2022.

Menurut Ong, walaupun kereta-kereta Volvo buat masa ini sudahpun dijual di Malaysia, Geely masih lagi belum ada kilang dengan teknologi termaju di negara ini bagi memproduksinya.

“Mereka merancang untuk melakukakannya secara besar-besaran – ASEAN mempunyai populasi sekitar 620 juta dan ia merupakan pasaran yang besar,” katanya dan menambah langkah untuk memasang kereta di Malaysia kemudian memasarkannya pada pasaran yang luas merupakan strategi yang baik.

Beliau juga mendedahkan bahawa Geely bakal memproduksi kereta di Tanjung Malim, pada kilang Proton sedia ada. “Mereka perlu menyediakan kilang berkenaan dalam masa lima tahun. Ia akan dilakukan secara berperingkat. Mereka buat masa sekarang dalam proses penempatan semula operasi. Mereka bakal mula membina kilang tahun hadapan,” jelasnya.

Semasa termeterainya FSP Proton-Geely, Geely dibayangkan bakal menggunakan kilang Proton di Tanjung Malim untuk memasang Volvo dan akan membayar yuran produksi. Walau bagaimanapun, DRB-Hicom tidak mendedahkan sama ada akan wujud perubahan kepada pemasangan tempatan kereta-kereta Volvo, dan menjelaskan lebih perincian bakal didedahkan semasa perjanjian muktamad yang bakal berlangsung pada akhir Julai nanti.

Walau bagaimanapun, Volvo sebenarnya sudahpun bertapak di Malaysia hampir 50 tahun, dan kilang jenama berkenaan yang dikenali sebagai Swedish Motor Assemblies (SMA) yang terletak di Shah Alam merupakan kilang kereta pertama di Malaysia – telah wujud sejak 1967 hingga awal 2010.

2016-Volvo-S60-T6-Drive-E-1_BM

Kilang tersebut yang kini dikenali sebagai Volvo Car Manufacturing Malaysia (VCM) – syarikat subsidiari Volvo Car (dimiliki oleh Geely) sendiri buat masa sekarang memproduksi model S60, V40, V60, XC60 dan juga XC90. Kilang berkenaan juga kini memasang SUV flagship Volvo iaitu XC90 T8 Twin Engine – menjadikan ia sebagai satu-satunya kilang di luar Sweden yang memasang SUV dengan teknologi tertinggi Volvo berkenaan.

VCM menghasilkan kenderaan sekitar 1,500 unit setahun buat masa sekarang, tetapi awal tahun lalu syarikat tersebut telah mengumumkan penstrukturan bernilai RM20 juta telah dilaburkan pada kilang Shah Alam tersebut, membolehkan sejumlah 5,000 kenderaan dapat diproduksi dalam masa setahun. Ia juga dijangka bakal meningkatkan kapasitinya sebanyak 50% pada tahun ini, diikuti 50% lagi untuk tahun hadapan.

Kereta-kereta yang dihasilkan pada kilang di Shah Alam berkenaan sebahagiannya telah dieksport ke Thailand, dan ia mensasarkan lima lagi pasaran baharu pada masa akan datang – termasuk Vietnam, Myanmar, Filipina, Indonesia dan Taiwan.

Mengikut perancangan VCM tersebut, jelas kilang mereka di Shah Alam sudah cukup canggih serta sebenarnya telahpun mempunyai perancangan untuk pasaran ASEAN – mungkin Ong tidak menyedari kewujudan VCM di Malaysia. Mungkin juga Ong kenyataan terbaharu Ong ini merujuk kepada pelan untuk mengembangkan lagi pemasangan kereta Volvo di Malaysia.