Setelah dibeli sepenuhnya oleh Volvo pada tahun 2015, Polestar dikenali sebagai penala rasmi dan divisi perlumbaan jenama dari Sweden berkenaan – sama seperti Mercedes-AMG dan BMW M. Namun, jenama tersebut telah dilancarkan semula baru-baru ini bagi menjadikan ia sebagai jenama bebas, bukan hanya sebagai penala kereta-kereta Volvo sedia ada.
Oleh itu, Polestar dikhabarkan akan menghasilkan sebuah model sports coupe dengan logonya sendiri (tanpa jenama Volvo), yang bakal menggunakan banyak komponen gentian karbon bersama enjin berkuasa sekitar 600 hp, lapor Autocar.
Menurut portal berkenaan lagi, model tersebut akan membuat kemunculan sulungnya pada Frankfurt Motor Show tahun ini. Walau bagaimanapun, ia bukanlah dibina dari mula oleh Polestar, sebaliknya ia akan menggunakan platform Volvo sedia ada dan diberikan ubahsuai berat dan diberikan elemen-elemen tersendiri.
“Polestar bakal menikmati teknologi spesifik dan sinergi kejuruteraan bersama Volvo Cars dan mendapat faedah dari skala ekonomi yang signifikant kerana hubungannya dengan Volvo. Sinergi ini membolehkan ia untuk merekabentuk, membangunkan dan membina kereta berprestasi tinggi dengan teknologi elektrik berkelas dunia,” kata petikan rasmi syarikat berkenaan.
Jadi, boleh dijangkakan, model berprestasi tinggi ini akan dijana oleh janakuasa hibrid gabungan enjin petrol dan motor elektrik yang bakal ditala untuk prestasi pemanduan, dan bukan untuk penjimatan bahan api. Setakat ini, Volvo mempunyai unit janakuasa T8 Twin Engine berkuasa 407 hp/640 Nm yang dipadankan pada SUV XC90 dan XC60 – calon terbaik untuk digunakan pada sports coupe yang diandaikan bakal dibina berdasarkan platform Volvo S60 sedia ada.
Unit janakuasa tersebut juga sebenarnya telah mendapat sentuhan Polestar sebelum ini menerusi pakej Polestar Optimisation yang ditawarkan untuk pemilik-pemilik XC90 yang mahukan lebih kuasa – menghasilkan kuasa akhir 421 hp/680 Nm.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.