Sebelum ini, Honda telah dilaporkan akan membina sebuah kereta sport untuk mengisi ruang kosong antara kereta sport Kei 660 cc Honda S660 dan juga supercar hibrid Honda NSX generasi kedua. Kereta sport berkenaan dikatakan akan membawa DNA Honda S2000 – kereta sport Honda berenjin hadapan pacuan belakang (FR) yang muncul buat pertama kali pada tahun 1998, sebagai model gantian kepada kereta sport klasik Honda S500.

Laporan terbaharu dari Autocar menyebut jenama dari Jepun berkenaan telah memfailkan paten terhadap rekabentuk kereta sport terkini mereka ke Pejabat Harta Intelek Kesatuan Eropah. Namun, kereta berkenaan nampaknya tidak dibina dengan konfigurasi FR seperti S2000, sebaliknya sebuah jentera berenjin tengah pacuan belakang (MR) kecil, seolah-olah ‘Baby NSX’, yang bakal memberikan saingan terus kepada Mazda MX-5.

Imej paten berkenaan mendedahkan, kereta sport baharu ini mempunyai muncung hadapan yang pendek (tiada enjin pada bahagian tersebut), manakala bahagian belakang kabin direka lebar, serta pada setiap sisi dibelakang pintu diberikan liang untuk mengalirkan udara ke ruang enjin. Ia juga tampil dengan rekaan tanpa bumbung.

Autocar turut menyebut kereta sport ini dijangka bakal dijana oleh enjin pembakaran dalam sepenuhnya tanpa bantuan motor elektrik seperti sistem hibrid pada NSX. Antara enjin yang dicalonkan untuk jentera ini adalah unit 1.5 liter VTEC Turbo pada Civic dan CR-V generasi baharu, atau enjin 2.0 liter VTEC Turbo dari Honda Civic Type-R yang dikurangkan kuasanya.