Honda Malaysia mengumumkan Honda City Sport Hybrid i-DCD dilancarkan secara rasmi untuk pasaran Malaysia minggu lalu, dan hari ini pada majlis sambutan Hari Raya bersama media, model tersebut diprebiu buat pertama kali. Seperti yang disebutkan sebelum ini, sama seperti Honda Jazz Sport Hybrid i-DCD, Malaysia merupakan satu-satunya pasaran di dunia yang menerima City Hybrid ini selain Jepun (dikenali sebagai Grace Hybrid untuk versi JDM).

Model ini dijual pada harga RM89,200 dan diberikan kelengkapan setara dengan City versi petrol varian pertengahan iaitu gred E. Ini meletakkan versi hibrid tersebut dijual pada harga RM4,600 lebih mahal dari City E (RM84,600) tetapi RM2,800 lebih murah berbanding varian tertinggi City V (RM92,000).

City Hybrid ini dikuasakan unit janakuasa yang sama dengan Jazz Hybrid iaitu dengan enjin 1.5 liter DOHC i-VTEC kitaran Atkinson bersama motor elektrik dengan suapan kuasa dari bateri lithium-ion menghasilkan kuasa akhir 137 PS/170 Nm. Menurut Honda, sistem Sport Hybrid i-DCD (Intelligent Dual-Clutch Drive) ini menghasilkan prestasi sama seperti enjin 1.8 liter NA biasa (Civic 1.8 hanya menghasilkan lebih 4 PS/4 Nm), dan menggunakan kurang bahan api – 4.0 liter bagi setiap 100 km untuk Jazz Hybrid dan 3.9 liter setiap 100 km untuk City Hybrid.

Sistem berkenaan juga menggabungkan transmisi automatik klac-berkembar (DCT) tujuh kelajuan yang membolehkannya beroperasi dalam keadaan elektrik sepenuhnya, tanpa menghidupkan enjin petrol (mengikut mod yang sesuai).

Sebagai model yang diletakkan pada kedudukan pertengahan dalam barisan, City Hybrid diberikan lampu hadapan halogen, lampu nyalaan siang dan lampu belakang LED, sistem infotainmen dengan skrin Display Audio 6.8-inci, serta upholsteri fabrik. Walau bagaimanapun, City Hybrid ini diberikan cermin pandang sisi boleh lipat automatik dan juga pedal penukar gear pada stereng (kedua-dua ciri ini tiada pada Jazz Hybrid), antenna radio sirip yu dan juga pemegang pintu bersalut krom, tetapi ia tidak diberikan lampu kabus seperti pada Jazz Hybrid.

Ia juga diberikan tombol penukar gear yang seiras dengan Jazz Hybrid – berbentuk empat segi, berbeza dengan tombol gear konvensional versi petrol. Dengan bateri hibrid diletakkan pada but belakang, ruang kargo sedan segmen-B ini kekal seperti versi petrol sepenuhnya dengan muatan 536 liter, tetapi tidak berikan tayar ganti (diganti dengan kit baikpulih sementera tayar, sama seperti Jazz Hybrid).

Tiga warna boleh dipilih untuk versi hibrid ini iaitu Lunar Silver Metallic, Modern Steel Metallic dan White Orchid Pearl. Ia datang dengan jaminan tanpa had batuan selama lima tahun dan jarak servis berkala 10,000 km, sama seperti City biasa. Untuk bateri lithium-ion yang digunakan pula, ia diberi jaminan tambahan lapan tahun.

Kedua-dua City dan Jazz Hybrid dipasang di Melaka, dan bagi City Hybrid, pengeluarannya sudah pun bermula tetapi orang ramai hanya boleh memandu uji model ini di pengedar rasmi Honda Malaysia bermula pertengahan bulan Ogos. Manakala untuk Jazz Hybrid, ia akan berada di pusat pameran bermula hujung minggu ini.