Sebagai salah satu usaha untuk memperkenalkan model baharu Volkswagen Arteon, jenama dari Jerman berkenaan bekerjasama dengan jurugambar buta dari Amerika, Pete Eckert untuk menghasilkan karya seni berdasarkan rupa mendebarkan sedan sporty berkenaan.

Pete Eckert yang telah pun menerima pelbagai anugerah menerusi pelbagai imej fotografinya sebelum ini, menghasilkan karya pertama dengan tema automobil menerusi projek terbaharu bersama Volkswagen tersebut.

Sebelum mengambil gambar, Eckert terlebih dahulu mendapatkan perincian berkenaan ciri istimewa dan juga karekterisktik Arteon. Ketika di set penggambaran pula, Eckert menyentuh segenap sudut kereta tersebut bagi mendapatkan gambaran tepat kereta berkenaan.

Dengan bantuan pembantu, Eckert menghasilkan karya fotografinya yang dikenali sebagai “lukisan cahaya”. Beliau menggunakan kamera jenis analog pada persekitaran yang sangat gelap, menggunakan tempoh pendedahan yang sangat panjang dan juga pendedahan berganda. Menerusi teknik berkenaan, beliau menghasilkan efek yang dinamik dengan menggerakkan pelbagai sumber cahaya.

“Arteon baharu mewakili rekaan ekspresif dan avant-garde. Pete Eckert telah mempersembahkan rekaan ini dengan cara yang unik. Imej ini telah menghasilkan kerja seni asli dan mempunyai atmosfera yang hanya boleh dicipta oleh beliau. Kami menyedari Pete mempunyai personaliti yang memberikan kesan dan kami mahu berterima kasih kepadanya atas kerjasama yang hebat ini,” kata Xavier Chardon, ketua pemasaran untuk jenama Volkswagen.

Volkswagen Arteon yang dihasilkan sebagai model gantian kepada coupe empat-pintu CC sebelum ini, didedahkan sepenuhnya di Geneva Motor Show awal tahun ini. Ia muncul sebagai model konsep Sport Coupe Concept GTE dua tahun lalu dan bakal diletakkan diantara Passat generasi terkini dan juga model eksklusif untuk China iaitu Phideon.

Arteon petrol akan dibarisi enjin 1.5 liter TSI Evo dan juga 2.0 liter TSI. Enjin 1.5 liter yang digunakan menghasilkan kuasa 150 PS dan enjin 2.0 liter pula ditawarkan dengan dua pilihan talaan kuasa iaitu 190 PS dan juga 280 PS. Untuk versi diesel pula ia hanya hadir dengan enjin 2.0 liter TDI, tetapi diberikan pilihan tiga talaan kuasa berbeza iaitu 150 PS, 190 PS dan juga 240 PS.