Mazda CX-5 baharu didedah oleh pengedar-pengedar tempatan sebelum diperkenalkan secara rasmi di M’sia

Kami menerima spyshot minggu lalu memaparkan Mazda CX-5 generasi kedua diuji di atas jalan raya Malaysia. Kini nampaknya pengedar-pengedar Mazda di Malaysia tidak sabar lagi untuk menjual SUV segmen-C generasi baharu tersebut dengan memaparkan imej-imej model berkenaan di laman-laman sosial mereka.

Imej-imej berkenaan berkemungkinan besar ialah CX-5 spesifikasi Malaysia, namun kita perlu menunggu sehingga pelancaran rasminya nanti untuk mengesahkan setiap perincian. Pada bahagian luaran, model baharu ini menerima lampu hadapan LED bersama lampu nyalaan siang LED, lampu kabus LED dan juga lampu belakang LED.

Gambar-gambar berkenaan turut mendedahkan dua rim aloi berbeza iaitu unit dengan jejari pelbagai berdiameter 17-inci dan juga pilihan lebih besar berdiameter 19-inci yang hadir dengan rekaan lima-jejari berkembar. Menerusi lencana-lencana yang terpapar, Malaysia nampaknya bakal menerima kedua-dua enjin petrol SkyActiv-G iaitu 2.0 liter dan 2.5 liter, dan juga model turbo diesel dengan enjin 2.2 liter SkyActiv-D.

Versi petrol akan dipadankan dengan kotak gear automatik enam-kelajuan SkyaActiv-Drive memacu roda hadapan. Manakala untuk model yang dijana kuasa diesel pula juga diberikan sistem transmisi yang sama tetapi turut diberikan sistem pacuan semua-roda. Seperti juga model-model lain dalam barisan, SUV generasi baharu ini turut diberikan teknologi pemanduan SkyActiv-Vehicle Dynamic, dibintangi oleh sistem G-Vectoring Control atau GVC.

Pada bahagian dalaman pula, papan pemuka CX-5 yang dirombak semula ini turut menampilkan skrin utama berdiri sendiri pada bahagian tengah yang dihubungkan kepada sistem infotainment MZD Connect. Ciri lain yang turut disertakan termasuk sistem penghawa dingin dua-zon, Commander Control dan juga upholsteri balutan kulit.

Pendedahan ini menandakan pelancaran rasmi CX-5 generasi baharu di Malaysia semakin hampir. Sebelum ini pihak Bermaz sendiri telah mendedahkan CX-5 baharu ini akan diperkenalkan sama ada pada September atau Oktober tahun ini. SUV berkenaan akan dipasang secara tempatan (CKD) di kilang Inokom Mazda Malaysia yang terletak di Kulim, Kedah.

Nampaknya pasaran SUV segmen-C di Malaysia benar-benar meriah tahun ini. Setelah VW Tiguan, Honda CR-V, Hyundai Tucson Turbo, dan kini kita menunggu pula CX-5 generasi baharu untuk bersaing dalam pasaran tempatan.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required