Honda Malaysia rai penghantaran Honda City Sport Hybrid kepada pemilik pertama pasaran tempatan

Honda Malaysia rai penghantaran Honda City Sport Hybrid kepada pemilik pertama pasaran tempatan

Setelah dilancarkan pada bulan lalu, unit pertama Honda City Sport Hybrid i-DCD yang dipasang di Kilang Honda Melaka kini telahpun dihantar ke pelanggan pertama. Unit berkenaan diterima oleh Encik Wilson Wong dan penyerahan tersebut diraikan oleh Honda Malaysia di pengedarnya, Tenaga Setia Resources, Petaling Jaya.

Sebagai penerima pertama City Hybrid berkenaan, En. Wong turut menerima pakej aksesori Modulo untuk keretanya yang bernilai RM5,070 serta tiket masuk ke Litar Antarabangsa Sepang untuk perlumbaan Formula 1 Petronas Malaysian Grand Prix 2017 yang akan berlangsung Oktober nanti.

“Saya mencari kereta yang mesra-keluarga dalam masa yang sama menawarkan prestasi pemanduan yang sporty. Saya sangat teruja apabila mendapat tahu Honda Malaysia memperkenalkan City Hybrid baharu di Malaysia dan model ini sesuai dengan keperluan saya iaitu model dengan ruang yang luas bersama sistem keselamatan yang baik, dan cekap bahan api serta sesuai untuk kegunaan harian. Selepas memandu uji, saya lebih kagum dengan teknologi terkini pada model ini dan ia turut memberikan prestasi bertenaga dan pemanduan yang sporty. Saya sangat gembira dengan kereta baharu saya dan servis yang diberikan oleh pengedar,” kata Wilson Wong.

Sama seperti Honda Jazz Sport Hybrid i-DCD, Malaysia merupakan satu-satunya pasaran di dunia yang menerima City Hybrid ini selain Jepun (dikenali sebagai Grace Hybrid untuk versi JDM).

Model ini dijual pada harga RM89,200 dan diberikan kelengkapan setara dengan City versi petrol varian pertengahan iaitu gred E. Ini meletakkan versi hibrid tersebut dijual pada harga RM4,600 lebih mahal dari City E (RM84,600) tetapi RM2,800 lebih murah berbanding varian tertinggi City V (RM92,000).

City Hybrid ini dikuasakan unit janakuasa yang sama dengan Jazz Hybrid iaitu dengan enjin 1.5 liter DOHC i-VTEC kitaran Atkinson bersama motor elektrik dengan suapan kuasa dari bateri lithium-ion menghasilkan kuasa akhir 137 PS/170 Nm. Menurut Honda, sistem Sport Hybrid i-DCD (Intelligent Dual-Clutch Drive) ini menghasilkan prestasi sama seperti enjin 1.8 liter NA biasa (Civic 1.8 hanya menghasilkan lebih 4 PS/4 Nm), dan menggunakan kurang bahan api – 4.0 liter bagi setiap 100 km untuk Jazz Hybrid dan 3.9 liter setiap 100 km untuk City Hybrid.

Selain itu, Honda Malaysia kini turut menjalankan kempen “T3ST DRIV3 R3WARDS” yang bermula 18 hingga 31 Ogos ini sebagai meraikan pelancaran Honda CR-V generasi baharu serta penghantaran City dan Jazz Hybrid pada pasaran Malaysia. Menerusi kempen ini, anda berpeluang untuk merebut hadiah cabutan bertuah berupa baucar tunai bernilai RM300 setiap satu yang disediakan untuk 300 orang pemenang. Kunjungi mana-mana 91 pengedar Honda anda yang terdekat untuk maklumat lanjut.

GALERI: Honda City Sport Hybrid i-DCD

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required