Sedan Volvo S60 dan wagon Volvo V60 Polestar 2018 – tampil kit aero gentian karbon, hanya 1,500 unit

Sedan Volvo S60 dan wagon Volvo V60 Polestar 2018 – tampil kit aero gentian karbon, hanya 1,500 unit

Volvo telah memperkenalkan pasangan sedan dan wagon berprestasi tinggi – S60 dan V60 Polestar – untuk versi tingkat taraf 2018, menampilkan berberapa perubahan kosmetik pada bahagian luaran dan dalaman, termasuk pemadanan komponen-komponen yang diperbuat dari material gentian karbon.

Pada bahagian luaran, kedua-dua model ini diberikan kit aero baharu menampilkan splitter hadapan, skirt sisi dan spoiler pada but belakang (spoiler hanya untuk model yang mempunyai but iaitu sedan S60) yang kesemuanya diperbuat dari gentian karbon sebenar. Menurut Volvo, kit baharu berkenaan mampu meningkatkan downforce kereta ini sebanyak 30% dan dibina oleh Polestar dan Cyan Racing menerusi data yang diperolehi semasa siri perlumbaan World Touring Car Championship (WTCC).

Kebanyakkan komponen berkenaan direka dan diuji semasa ujian rahsia dan catatan rekod yang dilakukan di litar Nürburgring tahun lalu, di mana S60 Polestar mencatatkan rekod lap terpantas untuk sedan empat pintu yang masih sah digunakan di atas jalanraya. Selain itu, model ini turut menerima cermin sisi kemasan gentian karbon dan juga warna badan baharu Bursting Blue Metallic.

Bagi melengkapkan penampilan luaran, S60 dan V60 Polestar diberikan rim berdiameter 20-inci dengan kemasan akhir gabungan aloi dan hitam berkilat. Manakala pada bahagian dalaman, kedua-duanya menerima upholsteri kulit Nubuck bersama jahitan benang biru dan juga sulaman logo Polestar pada tempat duduk.

Volvo tidak menampilkan sebarang perubahan pada aspek mekanikal dimana sedan dan wagon ini masih dijana enjin petrol 2.0 liter Drive-E yang menerima suapan pengecas turbo bersama supercharger sekaligus, menghasilkan kuasa 362 hp pada takat 6,000 rpm dan juga tork maksima 470 Nm bermula 3,100 rpm hingga 5,100 rpm.

S60 dan V60 Polestar juga kekal dengan sistem pacuan semua roda yang menerima kuasa dari enjin menerusi kotak gear automatik lapan-kelajuan. Gabungan bentangan unit janakuasa ini membolehkan sedan S60 memecut dari 0-100 km/j dalam masa 4.7 saat, manakala kembarnya V60 mencatatkan 4.8 saat pada jarak pecutan sama.

Kelengkapan pada bahagian casis juga masih tidak berubah dimana kedua-dua model ini menerima set penyerap hentap dari Öhlins bersama spring 80% lebih keras dari standard, strut bar dari material gentian karbon serta stereng yang ditala semula oleh Polestar. Angkup brek enam silinder dari Brembo bersama cakera yang ditebuk berdiameter 317 mm pada bahagian hadapan juga masih kekal, tetapi kini diberikan sekali dengan pad brek yang juga dari Brembo.

Model ini hanya dihasilkan 1,500 unit dimana ia turut disertakan dengan nombor produksi tersendiri yang diletakkan pada kemasan bendul pintu bagi melengkapkannya sebagai sebuah model collecters item.

Di Malaysia, kita masih belum menerima model penuh talaan Polestar ini. Tetapi Volvo Cars Malaysia telah membawa masuk pakej Polestar Optimisation bagi meningkatkan prestasi untuk model S60 T6, XC60 T5, XC60 T6, dan juga V40 T5. Kami juga sebelum ini telah diberi peluang untuk memandu uji V40 T5 Drive-E yang diberikan pakej lengkap talaan Polestar berkenaan – ulasannya boleh anda baca DI SINI.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required