Awal tahun ini, Honda Malaysia (HM) telah melancarkan City Hybrid dan Jazz Hybrid, dengan beberapa beberapa unit telah pun disampaikan kepada pemilik awal. Sementara ada yang menerima baik teknologi Sport Hybrid i-DCD (Intelligent Dual-Clutch Drive) yang digunakan, masih ada pula mereka yang masih ragu.
Oleh itu, Honda Malaysia telah mengeluarkan beberapa perincian berkenaan bukan sahaja teknologi itu, malah juga situasi selepas jualan yang berkaitan kenderaan hibrid tersebut. Ini demi memberikan pelanggan sedia ada serta akan datang lebih informasi dan ketenangan minda.
Mengikut data yang diperoleh dari Jepun, lebih 256,565 unit Fit Hybrid yang dilengkapi teknologi Sport Hybrid i-DCD telah dijual di sana sejak ia dilancarkan pada September 2013. Sejak itu, hanya 0.103% kenderaan perlu melakukan penukaran bateri hibrid dan ini bersamaan dengan 264 buah kenderaan.
Bagi model Jazz Hybrid dan City Hybrid sekarang, Honda Malaysia melakukan segala apa yang boleh untuk memberikan khidmat selepas jualan yang baik. Sebab itulah kedua-dua kenderaan ini didatangkan dengan jaminan lapan tahun tanpa had batuan bagi bateri lithium-ion yang digunakan. Jika perlu ditukar pun (selepas habis tempoh jaminan), setiap unit akan memerlukan kos RM5,513, dan Honda Malaysia mendakwa ini adalah kos yang paling mampu milik berbanding pengeluar lain.
Syarikat itu juga menyiarkan satu jadual perbandingan yang melibatkan dua model hibrid Honda ini dengan Hyundai Ioniq Hybrid (juga model CKD), menunjukkan kos yang jelas – bateri Honda berharga RM5,513 manakala bateri Hyundai RM9,800. Tetapi, mahu dinyatakan di sini bahawa bateri Hyundai lebih besar iaitu berkapasiti 1.56 kWh manakala bateri Honda 0.860 kWh.
Perbezaan lain yang boleh dilihat adalah kos penukaran starter bateri, kos penyelenggaraan sepanjang lima tahun dan kos penukaran tayar. Walaubagaimanapun, satu lagi perkara yang perlu diingat adalah Ioniq tidak berada dalam segmen yang sama dengan model hibrid Honda iaitu segmen C untuk Ioniq dan segmen B untuk Honda.
Selain penukaran bateri hibrid, Honda Malaysia turut mendakwa model hibrid baru mereka tidak memerlukan sebarang servis khas untuk menjaga sistem Sport Hybrid i-DCD. Jaminan biasa yang diberi (tidak termasuk bateri hibrid) adalah lima tahun tanpa had batuan (Ioniq tiga tahun), dengan jarak servis berkala 10,000 km, seperti model City biasa. Pelanggan juga akan menerima enam upah servis percuma pada jarak 20,000 km, diselang-selikan dengan servis berbayar.
Sebagai imbasan kembali, kedua-dua City Hybrid dan Jazz Hybrid mengguakan sistem Sport Hybrid i-DCD yang sama, dan ini adalah teknologi yang lebih maju berbanding Integrated Motor Assist (IMA) yang digunakan pada model hibrid Honda sebelum ini. Kuasa dan kecekapannya adalah lebih baik. Tetapan ini menggunakan gabungan enjin 1.5 liter, kotak gear automatik klac berkembar tujuh kelajuan dengan motor elektrik bersepadu, bateri lithium-ion dan compressor pacuan elektrik.
Kuasa keseluruhan yang mampu dihasilkan adalah 137 PS dan 170 Nm tork, menjadikan ia lebih berkuasa berbanding Jazz atau City biasa yang menggunakan enjin 1.5 liter SOHC i-VTEC 120 PS dan 145 Nm. Penggunaan bahan api yang dicatat pula adalah 4.0 l/100 km bagi Jazz Hybrid dan 3.9 L/100 km bagi City Hybrid. Harga jualan pula adalah RM89,200 untuk City Hybrid dan RM84,880 untuk Jazz Hybrid.
GALERI: Honda City Hybrid
GALERI: Honda Jazz Hybrid
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.