Toyota daftar paten enjin nisbah mampatan boleh ubah

Toyota daftar paten enjin nisbah mampatan boleh ubah

Enjin produksi dengan nisbah mampatan boleh ubah pertama di dunia telah dikeluarkan oleh Infiniti, dengan penggunaannya bakal ditunjukkan pada model SUV QX-50. Kini, Toyota juga sedang mengusahakan sesuatu yang serupa, mengikut apa yang didaftarkan di pejabat pendaftaran paten dan hak reka cipta Amerika Syarikat.

Walaubagaimanapun, langkah untuk mendapatkan nisbah mampatan boleh ubah yang dilakukan oleh Toyota adalah berbeza dengan cara Infiniti. Toyota masih menggunakan connecting rod biasa, tetapi menambah sepasang piston hidraulik di atasnya, manakala teknologi VC-T Infiniti menggunakan actuator arm elektrik untuk menaik dan menurunkan piston.

Bagi paten Toyota, satu suis pin dan injap pemeriksa akan menentukan piston hidraulik mana yang akan dimampatkan, seterusnya menentukan nisbah mampatan yang akan digunakan. Ini secara efektif memberikan connecting rod dua jarak pergerakan, satu untuk nisbah mampatan yang tinggi, dan satu untuk nisbah mampatan yang rendah.

Toyota daftar paten enjin nisbah mampatan boleh ubah

Idea asas penggunaan teknologi ini adalah untuk mendapatkan yang terbaik dalam aspek kecekapan dan kuasa, di mana nisbah mampatan yang lebih rendah membantu penggunaan bahan api lebih cekap manakala nisbah mampatan lebih tinggi memberikan kuasa yang lebih baik. Menurut Toyota, tetapan yang digunakan oleh mereka dapat mengurangkan kos pengeluaran dan meningkatkan ketahanan alat yang terlibat.

Walaupun kini sedang berusaha untuk meningkatkan pembangunan enjin bahan api alternatif, Toyota masih melihat potensi enjin pembakaran dalaman, dengan sedikit inovasi. Syarikat itu masih tidak memberikan gambaran kuasa yang akan dihasilkan, tetapi Infiniti memberitahu enjin nisbah mampatan boleh ubah mereka mampu menyamai prestasi sebuah enjin 2.0 liter petrol turbo, dengan tork dan kecekapan seperti sebuah enjin diesel maju.

Paten yang didaftar oleh Toyota juga sekadar menunjukkan inovasi connecting rod, dan tidak menyatakan sama ada ia akan menggunakan sistem NA ataupun pendesak kuasa tambahan seperti turbo atau supercharger. Untuk enjin NA, Toyota mempunyai barisan enjin Dynamic Force, yang dipertingkat pada aspek geseran, aliran gas ekzos, penyejukan dan pemasukan udara.


Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required