China kaji pengharaman penggunaan kenderaan petrol dan diesel bagi mengatasi masalah pencemaran udara

China kaji pengharaman penggunaan kenderaan petrol dan diesel bagi mengatasi masalah pencemaran udara

Selain dari Britain dan Perancis, serta bandar-bandar seperti Paris, Madrid dan Mexico City, China nampaknya kini turut sedang mengkaji untuk mengharamkan penggunaan kenderaan yang dijana oleh enjin pembakaran dalam dengan bahan api petrol dan diesel pada masa hadapan bagi mengurangkan pencemaran alam, lapor Reuters.

Menurut laporan berdasarkan agensi berita rasmi China Xinhua yang memetik komen dari timbalan menteri industri dan IT republik berkenaan, China merupakan pasaran automotif terbesar dunia dan merupakan negara kedua paling banyak menggunakan hasil minyak di dunia, dan mereka kini sudah mula mengkaji bila penjualan kenderaan yang menggunakan petrol dan diesel akan mula diharamkan.

“Berberapa negara telah membuat garis masa mereka sendiri untuk menghentikan produksi dan jualan kereta dengan enjin bahan api tradisional. Kementerian juga telah mula menjalankan penyelidikan yang relevan dan akan membuat garis masa sedemikian bersama jabatan yang berkaitan. Kesemua langkah tersebut akan membawa perubahan mendalam terhadap perkembangan industri kenderaan kita,” kata Xin pada acara industri auto di Tianjin, tetapi belum mendedahkan sebarang tarikh terhadap langkah tersebut.

Bagi menangani masalah pencemaram alam ini dan mendekatkan jurang antara pembuat domestik China yang masih baharu dengan gergasi-gergasi automotif global, China telah mensasarkan agar jualan kereta elektrik sepenuhnya (EV) dan plug-in hybrid (PHEV) mencapai sekurang-kurangnya 20% dalam pasaran pada tahun 2025. Jadi, peralihan sepenuhnya untuk mengharamkan terus penggunaan enjin pembakaran dalaman akan mengambil masa yang lebih lama, sekiranya ia benar-benar berlaku.

Xin berkata pemain industri automotif tempatan kini berhadapan dengan “tempoh pergolakan” bermula sekarang hingga 2025 bagi beralih kepada kenderaan dengan punca kuasa baharu, memaksa pembuat automotif domestik mengadaptasi cabaran tersebut dan melaraskan semula strategi mereka.

China kaji pengharaman penggunaan kenderaan petrol dan diesel bagi mengatasi masalah pencemaran udara

Bulan lalu, laporan Reuters menyatakan China mungkin akan menunda implementasi kuota jualan yang sukar untuk kenderaan plug-in elektrik, membolehkan pembuat-pembuat automotif mengambil masa lebih panjang untuk bersedia. Di bawah cadangan baharu ini, 8% dari jualan perlulah terdiri dari kenderaan EV dan PHEV tahun hadapan, seterusnya meningkat kepada 10% pada 2019 dan 12% pada 2020, tetapi undang-undang tersebut tidak akan berkuatkuasa sehingga 2019, setahun lebih lambat dari perancangan sebenar.

Sama ada ditangguhkan ataupun tidak, China kini sedang serius dalam peralihan kepada kuasa elektrik ini, dan ia didokong oleh infrastruktur pengecas yang kini sedang berkembang. Menurut laporan China’s People Daily, sejumlah 167,000 unit pengecas kini telah dihubungkan ke platform telematik pada State Grid Corporation of China (SGCC), menjadikan ia jaringan pengecas kenderaan EV terbesar di dunia.

Dengan menghubungkan 17 pengendali stesen pengecas, SGCC kini menawarkan lebih dari satu juta kWh kuasa setiap hari. Laporan tersebut turut menambah bahawa SGCC kini sedang membina 5,526 stesen pengecas dan penukaran bateri dan lebih dari 40,000 unit pengecas sejak 2006, dengan jaringan lebuhraya cas-cepat yang meliputi 121 bandar dan 16 wilayah. Jarak purata antara setiap dua stesen pula kurang dari 50 km. Syarikat berkenaan bercadang untuk mengembangkan lagi stesen pengecas berkenaan sehingga 120,000 menjelang 2020 nanti.

SGCC mensasarkan untuk mengurangkan jarak maksima antara stesen pengecas kepada kurang dari lima km di kawasan pinggir bandar, kurang dari tiga km pada kawasan pinggir bandar lebih dalam dan kurang dari satu km pada kawasan bandar.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required