Sebastien Ogier sah bergelar juara dunia WRC 2017, Ford M-Sport rangkul gelaran kategori pengeluar

Sebastien Ogier sah bergelar juara dunia WRC 2017, Ford M-Sport rangkul gelaran kategori pengeluar

Walaupun Kejuaraan Rali Dunia (WRC) 2017 masih lagi berbaki satu pusingan, pemandu pasukan Ford M-Sport, Sebastien Ogier telah mengesahkan gelaran juara dunia untuk musim tahun ini setelah menamatkan perlumbaan di tempat ketiga pada Rali Great Britain semalam.

Dengan kejayaan yang diraih tahun ini, Ogier mengekalkan gelarannya yang diperolehi tahun lalu bersama pasukan Volkswagen dan berjaya menjadi juara dunia untuk kali kelima berturut-turut. Rekod ini juga membolehkan Ogier mengatasi lagenda Finland, Tommi Makinnen yang bergelar juara sebanyak empat-kali, dan kini satu anak tangga di belakang pemandu senegara, Sebastien Loeb yang merangkul gelaran juara WRC sebanyak sembilan-kali.

Bagi pasukan M Sport yang juga berpengkalan di UK, mata-mata yang diperolehi dari pemandu-pemandunya di Rali GB ini turut membolehkan mereka sah digelar sebagai juara dunia kategori pengeluar bagi WRC 2017. M-Sport bukanlah pasukan yang dilantik sendiri oleh Ford untuk bertanding dalam WRC, sebaliknya pasukan persendirian yang berlumba menggunakan Ford Fiesta. Kejayaan yang diraih oleh pasukan berkenaan nyata memberikan impak besar kepada pasukan-pasukan rasmi tiga jenama besar lain iaitu Toyota, Hyundai dan Citroen.

Pusingan Dayinsure Wales Rally GB tersebut dijuarai oleh seorang lagi pemandu M-Sport iaitu Elfyn Evans, yang juga merupakan pemandu tempatan. Kemenangan Evans dan M-Sport di Rali GB ini secara tidak langsung mengembalikan memori peminat tempatan kepada kejayaan yang diraih oleh mendiang Richard Burns dan pasukan Prodrive Subaru World Rally Team (yang juga berpengkalan di UK) di Rali sama pada tahun 2000.

Evans yang juga bekas juara kejohanan Rali British meninggalkan pemandu Hyundai, Thierry Neuville di tempat kedua dengan kelebihan 37.3 saat, sekaligus dapat membalas dendam terhadap kekalahannya kepada Neuville dengan hanya 0.7 saat di Rali Argentina enam bulan lalu.

Seorang lagi pemandu Hyundai, Andreas Mikkelsen berjaya menamatkan perlumbaan di tempat keempat, diikuti oleh pemandu Toyota, Jari-Matti Latvala di tempat kelima. Mata untuk pasukan M-Sport pada pusingan ini turut disumbangkan oleh pemandu keduanya iaitu Ott Tänak yang menamatkan perlumbaan pada tempat keenam.

Berdasarkan carta pungutan mata, Ogier memperolehi 215 mata meninggalkan Neuville di tempat kedua dengan 183 mata. Bagi kategori pengeluar pula, M-Sport Ford mendahului dengan 398 mata, berbanding Hyundai Motorsport di tempat kedua dengan hanya 305 mata. Perlumbaan terakhir untuk musim WRC tahun ini akan dilangsungkan di Australia pada 16 hingga 19 November ini.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required