Tokyo 2017: Toyota Fine-Comfort Ride tunjuk teknologi hidrogen baru – 6-tempat duduk, jarak gerak 1,000 km

Walaupun masih ada yang tidak begitu yakin kenderaan tenaga hidrogen akan menjadi realiti, syarikat pengeluar kenderaan Jepun semakin banyak mengeluarkan kereta konsep seperti ini. Antaranya yang muncul semasa Tokyo Motor Show 2017 adalah Toyota Fine-Comfort Ride, yang membawa visi “bentuk baru saloon premium” dan dikuasakan oleh fuel cell hidrogen.

Bentuk badannya yang pelik turut memberi lebih ruang kepada bahagian dalam (tetapan tempat duduk 4+2), selain dapat meningkatkan prestasi aerodinamik dan bahagian bawahnya mempunyai lapisan penutup untuk meingkatkan stabiliti pada kelajuan tinggi dan mengurangkan bunyi. Pada bahagian tayar pula, setiap satunya mempunyai motor elektrik, menghasilkan pacuan empat roda.

Masuk ke bahagian dalam, pereka kenderaan ini cuba menghasilkan rekaan konsep “diselubungi keselesaan”, yang turut diangkat sebagai nilai tambahan, selain sebagai sekadar sebuah pengankutan dari satu tempat ke tempat lain. Kesemua empat tempat duduknya yang berasingan boleh dipusing menghala ke mana sahaja yang anda suka.

Bermaksud, pengguna boleh menghada ke depan seperti kereta biasa, atau jika perlu, dipusingkan untuk mewujudkan keadaan seperti satu ruang perbincangan. Ia juga boleh dilaras mengikut postur pengguna. Seperti juga kenderaan konsep lain yang ditayangkan, Fine-Comfort Ride ini mempunyai AI Agent yang boleh muncul di bahagian panel paparan sesentuh di tingkap tepi.

Ukuran penuh kenderaan ini adalah 4,830 mm panjang, 1,950 mm panjang dan 1,650 mm tinggi. Ini membuatkan ia hampir sama seperti kenderaan segmen D seperti Camry, tetapi lebih lebar (+116 mm) dan tinggi (+210 mm). Jarak rodanya pula adalah 3,450 mm, dan dapat memberikan ruang yang lebih bagi penumpang di dalam.

Ciri utama Fine-Comfort Ride sudah tentu adalah enjin kuasa hidrogen, di mana ia menggunakan fuel cell yang berada di depan, dan tangki hidrogen berbentuk silinder di lantai. Toyota mendakwa kenderaan ini boleh bergerak sehingga 1,000 km dengan satu isian penuh, di mana setiap kali diisi, ia akan mengambil masa tiga minit.