Toyota AE86 – sebuah jentera yang sinonim dengan enjin-enjin petrol dengan putaran rpm tinggi, sama ada menggunakan enjin asal 1.6 liter NA 16V 4A-GE, versi 20V sama ada ‘black top’ atau ‘silver top’, atau enjin-enjin lain seperti enjin 2.0 liter 3S-GE dari Toyota Altezza, atau 2.0 liter F20C DOHC i-VTEC dari Honda S2000.

Namun, kereta yang muncul dalam episod terbaharu pada saluran Youtube Hoonigan ini agak ganjil dan berbeza dari ubahsuai-ubahsuai tipikal sebelum ini – Toyota Corolla AE86 tersebut diubahsuai untuk aktiviti drift dengan dijana motor elektrik sepenunhnya!

Corolla AE86 milik Omead Moinee ini memulakan hayatnya sebagai sebuah AE86 spesifikasi SR5, iaitu varian asas pasaran Amerika Syarikat yang dibekalkan dengan enjin 4A-C – enjin 1.6 liter dengan blok yang sama seperti enjin 4A-G, tetapi mempunyai kepala enjin dengan aci sesondol tunggal (DOHC untuk 4A-G) serta hanya disuap sistem karburator.

Moinee juga pernah mengubahsuai keretanya tersebut kepada spesifikasi GTS iaitu dengan enjin 4A-GE sebenar dan digunakan dalam disiplin drift. Namun akibat terpengaruh jentera-jentera untuk perlumbaan rali Pikes Peak yang kini banyak telah menggunakan kuasa elektrik sepenuhnya (kategori elektrik telah diperkenalkan pada perlumbaan berkenaan), Moinee mula merombak keretanya bagi dijana kuasa bateri.

Menurut Moinee, motor elektrik yang digunakan adalah motor DC berdiameter 9-inci yang diambil dari jentera Drag elektrik. Motor berkenaan disuap dengan bateri lithium-ion yang diambil dari industri penerbangan, dan diletakkan pada bahagian belakang kereta ini.

Tidak seperti kereta-kereta elektrik lain yang menggunakan transmisi automatik, atau tidak mempunyai transmisi langsung kerana tork maksima yang dibekalkan bermula dari 0 rpm, AE86 elektrik ini menggunakan kotak gear manual Toyota T-50, iaitu kotak gear asal untuk enjin 4A berkenaan.

Moinee turut memberitahu, kereta ini sudah pun diuji diatas mesin dynometer dan ia memberikan bacaan kuasa 250 hp dan tork maksima 334 Nm. Bayangkan bagaimana tork melebihi angka 300 Nm tersebut menyeksa klac dan juga tayar bermula 0 rpm pada gear 1! Namun, menurut pemiliknya lagi, motor eletrik tersebut hanya dapat berputar pada kelajuan maksima 5,000 rpm.

Pada akhir video ini, Moinee turut mendemonstrasikan bagaimana sebuah jentera drift yang selalunya hadir dengan paip ekzos yang kuat, tetapi jenteranya mempersembahkan aksi yang cukup senyap dengan hanya bunyi geseran tayar kedengaran.