Kita telah berkenalan dengan moyang kepada Toyota Yaris GRMN iaitu Toyota Starlet KP61 menerusi artikel khas kereta milik Hamizan Selamat sebelum ini. Kini, kami hidangkan pula video antarabangsa kereta dari siri yang sama milik Mikko Kataja dari Finland, yang berlumba di rali mendaki bukit Mt Washington HillClimb 2017 di Amerika Syarikat.

Starlet milik Kataja ini merupakan model yang lebih lama iaitu dibuat pada tahun 1979 dengan kod casis KP62. Berbanding Starlet yang kita temui biasanya dengan lampu hadapan petak, kereta ini diberikan muka dengan lampu utama berbentuk bulat yang juga digelar sebagai ‘bug eye’ oleh peminatnya.

Jentera rali sebenar ini dijana oleh enjin 4A-GE 1.6 liter NA yang diambil Corolla AE86. Kataja tidak berlumba dengan enjin standard, dimana enjin tersebut telah dibina semula dengan pelbagai komponen perlumbaan dari bahagian aci engkol, rod penghubung, omboh, hingga kepala yang meliputi aci sesondol, spring dan sebagainya.

Ia juga telah memadankan sistem suntikan bahan api perlumbaan dan keseluruhan pengurusan enjin dijalankan oleh kotak komputer stand alone MS6.4. Ini membolehkan enjin berkenaan menghasilkan kuasa maksima 260 hp tanpa pengecas turbo dan boleh menjerit sehingga 11,000 rpm! Hampir sama dengan angka enjin 4A-GE Formula Atlantic Fujiwara Takumi dalam siri animasi Intial D bukan?

Enjin tersebut digandingkan dengan kotak gear perlumbaan sequential enam-kelajuan dan kuasa dihantar ke gandar belakang menerusi sebatang propeller shaft yang diperbuat dari gentian karbon.

Bagi memastikan kereta ini mampu menampung kuasa yang dihasilkan serta mampu dipandu pada jalan yang sukar, ia diberikan suspensi perlumbaan dari KW dan juga diberikan cakera brek dari Willwood bersama angkup dari AP Racing. Keseluruhan bahagian dalaman telah dibuka, dan kabinnya kini diberikan roll cage lengkap bersama tempat duduk perlumbaan dan roda stereng Sparco.

Bahagian luaran kereta ni masih lagi kelihatan seperti Starlet asli. Namun dengan penggunaan set rim dan tayar yang lebih lebar, ia telah diberikan dengan flare pada kesemua ruang roda serta diserikan spoiler bumbung yang direka seperti unit dari TRD.

Pada perlumbaan di Mt.Washington tahun ini, Kataja bersama Starlet miliknya berjaya menduduki tempat ke-10 keseluruhan dengan menentang jentera-jentera yang jauh lebih moden serta masa yang dicatatkan di bawah tujuh minit (6:58.98). Untuk perbandingan, rekod terpantas untuk mendaki bukit ini dicatatkan oleh Travis Pastrana dengan masa 5 minit 44.72 saat yang dibuat dengan sebuah jentera rali Subaru WRX STI, pacuan semua roda, berkuasa 600 hp.

Kataja yang juga seorang jurutera elektronik automotif membina semula Starlet ini di bengkel miliknya iaitu VHTRacing Engineering. Dia telah berlumba dengan Starlet berkenaan sejak tahun 2002 di pelbagai rali di Finland sendiri, ketika itu kereta berkenaan masih lagi menggunakan enjin asal 1.3 liter 4K tetapi turut telah diubahsuai sepenuhnya dengan bantuan ayahnya sendiri.