Di dalam perkembangan terbaru berkaitan Kuala Lumpur-Singapore High Speed Rail (HSR), Jepun turut menyatakan minat dan mempersiap tawaran bidaan untuk mendapatkan kontrak pembinaan projek prasarana pengangkutan terbesar di Asia Tenggara itu.

Di dalam sebuah wawancara bersama Bernama, Duta Jepun ke Malaysia, Makio Miyagawa memaklumkan, pakej yang akan disediakan oleh pihaknya akan menjadi lebih holistik dengan teknologi HSR berdasarkan pengalaman negara itu membangunkan sistem untuk keretapi laju Shikansen sebelum ini.

Ini turut akan melibatkan pemindahan teknologi serta pembangunan vendor tempatan untuk memberi lebih manfaat kepada syarikat Malaysia dan Singapura yang terlibat, termasuk perusahaan kecil dan sederhana.

“Kami akan menawarkan teknologi berkaitan yang paling sesuai untuk situasi di Malaysia dan Singapura, serta latihan menyeluruh bagi pegawai, operator sistem serta jurutera kedua-dua negara untuk membolehkan mereka memulakan operasi secara sendiri sejak hari pertama lagi.

“Jepun juga ingin menawarkan pakej kewangan yang komprehensif yang akan membantu kedua-dua negara untuk meringankan sebanyak mungkin beban kewangan yang ditanggung oleh kedua-dua negara dalam memperkenalkan sistem ini,” ujar Miyagawa.

HSR melibatkan laluan sepanjang 350 km antara Kuala Lumpur dan Singapura yang memakan masa hanya 90 minit. Ia disasarkan untuk mula beroperasi pada 2026. Bidaannya perlu dikemukakan pertengahan tahun ini dan kontrak dijangka akan diserahkan pada hujung tahun kepada yang berjaya. Pembida lain yang turut menunjukkan minat ketika ini ialah China, Korea Selatan dan Perancis.

“Jepun mencipta teknologi bullet train. Kelebihan Shinkansen adalah ia sudah beroperasi selama hampir 50 tahun tanpa sebarang kemalangan atau masalah yang teruk. Ini menjadi kekuatan sistem berkenaan, yang didasarkan kepada perkakasan bekualiti serta perisian operasi yang sangat cemerlang oleh jurutera-jurutera dan pengendali di Jepun,” tambahnya.

Dari satu sisi lain, Jepun juga selama ini sudah menawarkan teknologi, pembangunan manusia dan sumber kewangan kepada syarikat-syarikat di Malaysia untuk menjalin usahasama serta membolehkan mereka melangkah maju ke hadapan bersama. “Hal yang sama akan kami lakukan melalui projek HSR ini. Kami akan bekerjasama dengan syarikat-syarikat dari Malaysia dan Singapura agar pemindahan teknologi dan pengetahun dapat dijalankan dengan lancar dan boleh dikendalikan sendiri sejak hari pertama operasinya lagi,” tambah beliau lagi.