Selepas teaser dikeluarkan, MINI Malaysia akhirnya telah melancarkan secara rasmi dua model edisi istimewa iaitu MINI Urbanite dan MINI Amplified. Secara asasnya, dua model ini adalah sama seperti MINI Clubman Sterling Edition, di mana ia diasaskan daripada model sedia ada, tetapi ditambah dengan pelbagai kelengkapan.

Bermula dengan Urbanite Edition, yang dijual pada harga RM198,888 tanpa insurans, ia menggunakan asas daripada MINI Cooper 5 Door F55. Enjin yang digunakan masih adalah unit tiga silinder 1.5 liter turbo dengan kuasa sebanyak 136 hp dan 220 Nm tork, dan dipadankan bersama transmisi automatik enam kelajuan. Hasilnya, kenderaan ini boleh memecut 0-100 km/j dalam masa 8.1 saat dan mencapai kelajuan maksimum 207 km/j.

Secara visualnya, MINI Urbanite menampilkan tambahan sepasang lampu LED di bahagian hadapan, inspirasi daripada model rali klasik MINI. Model ini juga datang dengan rim 16 inci Victory Spoke berwarna hitam, bersama kemasan hitam berkilat di sekeliling lampu dan gril.

Turut digunakan adalah jalur perlumbaan, dari hadapan sampai ke belakang, yang boleh didapati dalam warna yang berbeza mengikut warna badan yang dipilih. Pelanggan mempunyai pilihan sama ada warna Midnight Black dengan jalur merah ataupun Blazing Red dengan jalur Pepper White.

Masuk ke dalam, MINI Urbanite ini menggunakan kemasan warna Glowing Red John Cooper Works, bersama lapik bumbung Anthracite dan lencana Urbanite. Pemilik juga diberikan kamera undur dengan sistem bantuan letak kereta yang mempunyai paparan jalur serta halangan yang ada, dan roda stereng sports.

Pergi kepada Amplified Edition yang dijual pada harga RM248,888 (tidak termasuk insurans) pula, ia menggunakan asas daripada MINI Cooper S 3 Door F56, namun enjin empat silinder 2.0 liter turbonya dinaik taraf dengan kit talaan JCW Pro dan sistem injap penyenyap JCW Pro dengan kawalan Bluetooth – sebelum ini boleh didapati pada model MINI JCW Pro Edition 2016.

Hasilnya, enjin tersebut mampu menghasilkan 211 hp dan 300 Nm tork, dan ini adalah peningkatan yang banyak berbanding 192 hp dan 280 Nm tork pada model standard. Bagi memadankan ia dengan naik taraf ini, MINI Amplified turut dilengkapi dengan kit aerodinamik JCW bersama spoiler belakang. Rim yang digunakan adalah unit 17 inci JCW Track Spoke berwarna hitam.

Seperti MINI Urbanite, MINI Amplified ini juga mendapat jalur perlumbaan di bahagian luarnya, inspirasi daripada model konsep MINI John Cooper Works tahun 2014. Padanan warna yang diberi adalah Midnight Black dengan jalur merah, Chilli Red atau Pepper White dengan jalur hitam.

Bahagian kabinnya diperlengkap dengan tempat duduk lumba JCW bersama penyandar kepala bersepadu, dibalut kulit dan Alcantara, serta jahitan kontras Red Dinamica. Pada bahagian lain, terdapat kemasan warna Glowing Red, bersama lapik bumbung Anthracite, roda stereng balutan kulit berliang JCW dan balutan kain Black Chequered. Kamera pandangan belakang turut diberikan secara standard, bersama sistem Comfort Access.

Selain kelengkapan yang diberitahu tadi, kedua-dua model edisi istimewa ini juga didatangkan dengan lampu utama LED, Park Distance Control, pengawal pendingin hawa dua zon, lampu suasana 12 warna, MINI Visual Boost 6.5 inci, MINI Connected dan pemula enjin tanpa kunci. Jaminan yang diberi adalah empat tahun tanpa had batuan, bersama servis berkala percuma dan program bantuan tepi jalan selama lima tahun.

GALERI: MINI Urbanite


GALERI: MINI Amplified