Pada tahun 2017, Honda Malaysia Sdn Bhd (HMSB) meletakkan sasaran sebanyak 100,000 unit namun berjaya mencatatkan jualan keseluruhan sebanyak 109,511 unit. Di mana pada tahun lalu, City menjadi model terlaris Honda di Malaysia iaitu merangkumi sebanyak 27% daripada jumlah jualan keseluruhan, diikuti dengan HR-V, BR-V, Civic dan dua model hibridnya iaitu Jazz Hybrid dan City Hybrid.

Kekal melangkah dengan penuh agresif, bagi tahun 2018, HMSB mensasarkan jualan keseluruhan sebanyak 109,000 unit. Ketika mengumumkannya dalam majlis pelancaran model Odyssey 2018 petang ini, Toichi Ishiyama sebagai Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) berkata sasaran tersebut mewakili perkongsian pasaran sebanyak 18% daripada Jumlah Keseluruhan Industri (TIV) sebanyak 509,000 unit yang dijangkakan pada tahun 2018.

“Berdasarkan kaji selidik dalaman, Indeks Kepuasan Pelanggan (CSI) kami telah meningkat sebanyak 23 mata berbanding tahun sebelumnya. Untuk memberi lebih Keseronokan Membeli (Joy of Buying), kami akan meningkatkan aspek ini secara lebih signifikan pada tahun ini,”ujar Ishiyama.

Selain Odyssey, HMSB juga bakal melancarkan satu model pada tahun ini, namun tidak dimaklumkan secara terperinci. Pastinya model yang benar-benar mampu meraih perhatian dan sambutan bagi memastikan momentum yang stabil sejak empat tahun yang lalu terus berkekalan. Pendapat anda, apakah model yang bakal diperkenalkan itu?