Renault Megane GT kini rasmi di pasaran M’sia – 1.6L turbo, 205 PS/280 Nm, EDC tujuh-kelajuan, RM228k

Renault Megane GT kini rasmi di pasaran M’sia – 1.6L turbo, 205 PS/280 Nm, EDC tujuh-kelajuan, RM228k

Setelah diprebiu buat pertama kali di Malaysia pada November tahun lalu, kini hatchback generasi baharu Megane sudah mula dijual pada pasaran tempatan. Namun jangan salah anggap, model yang dilancarkan terlebih dahulu ini bukan dari versi RS yang paling berkuasa, tetapi dari versi GT, dijual dengan warna Iron Blue pada harga atas jalan tanpa insuran RM228,000.

Model ini dijana enjin petrol empat silinder 1.6 liter turbo yang mampu menjana 205 PS pada takat 6,000 rpm, serta tork maksima 280 Nm bermula 2,400 rpm. Enjin yang digelar TCe 205 tersebut menyalurkan kuasa ke kotak gear klac berkembar automatik EDC tujuh-kelajuan dengan klac basah, memacu hanya roda hadapan. Padanan berkenaan membolehkan model GT ini memecut dari 0-100 km/j dalam masa 7.1 saat sebelum mencapai kelajuan maksima 230 km/j.

Walaupun bukan sebuah model RS sebenar, model GT ini masih menerima sentuhan dari Renault Sport pada casis dan juga suspensi. Ia turut dipadankan dengan sistem Multi-Sense yang menawarkan lima mod pemanduan, manakala mod Eco kini ditukar kepada mod R.S Drive.

Renault Megane GT kini rasmi di pasaran M’sia – 1.6L turbo, 205 PS/280 Nm, EDC tujuh-kelajuan, RM228k

Selain itu, Megane GT turut menerima sistem stereng pada keempat-empat roda yang digelar 4Control bagi memberikan pengendalian yang lebih tangkas. Ia juga hadir standard dengan sistem Multi Change Down yang membolehkan pemandu menurunkan gear dengan agresif pada transmisi EDC berkenaan serta mengaktifkan fungsi launch control. Kawalan hatchback ini dilengkapkan dengan rim aloi 17-inci kemasan gunmetal, dibaluti tayar 225/45R17.

Bagi membezakan model GT ini dari versi standard Megane generasi keempat, ia diberikan bampar hadapan dan belakang yang lebih agresif, diffuser pada bawah belakang bersama dua tip ekzos krom, serlahan kemasan luaran lebih gelap serta lencana-lencana GT pada tempat sepatutnya.

Logo-logo GT berkenaan turut menghiasi berberapa bahagian pada bahagian kabin bersama upholsteri berwarna hitam/biru, serlahan panel kemasan krom satin, kemasan bendul pintu khas, balutan kulit pada roda stereng, dan juga padel penukar gear aluminium. Tempat duduk juga direka lebih sporty lengkap dengan logo R.S.

Kelengkapan lain yang turut dibekalkan pada hatchback ini termasuk lampu hadapan automatik LED sepenuhnya Pure Vision bersama lampu nyalaan siang LED singnatur Renault, lampu belakang LED dan juga pengelap cermin automatik. Manakala untuk sistem infotainmen pula, Megane GT dibekalkan dengan skrin sistem R-Link 2 tujuh-inci dihubungkan kepada sistem bunyi 3D Arkamys dengan lapan-pembesar suara.

Ia juga datang standard dengan sistem penghawa dingin dua-zon, paparan instrumen digital tujuh-inci, pedal aluminium dan kamera undur. Untuk keselamatan pula, Megane GT diberikan ciri standard seperti enam beg udara (dua hadapan, sisi dan tirai), empat penderia parkir, ESC, traction control, bantuan mula mendaki dan sistem brek ABS lengkap bersama EBD dan EBA.

Setiap pembelian Renault Megane GT diberikan perlindungan waranti selama tiga tahun atau 100,000 km. Pembeli juga ditawarkan dengan filem penapis haba dari Raytech dan V-Kool dengan bayaran bermula RM1,049 hingga RM4,436 (termasuk GST) serta tray untuk bahagian kargo berharga RM200.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required