Hyundai Sante Fe 2019 kini muncul di Korea – 2.0L turbo dan 2.2 L turbodiesel, transmisi auto 8-kelajuan

Hyundai Sante Fe 2019 kini muncul di Korea – 2.0L turbo dan 2.2 L turbodiesel, transmisi auto 8-kelajuan

Setelah imej teaser disiar bulan lalu dan imej awalannya didedahkan awal bulan ini, SUV segmen-D Hyundai Santa Fe generasi baharu akhirnya muncul buat pertama kali di bandar Goyang, Seoul, Korea. Menurut Hyundai, model generasi keempat ini diberikan pelbagai ciri teknologi tinggi terbaharu dan bakal mula diproduksi bermula suku kedua 2018, serta akan terus mula dijual selepas itu.

Santa Fe 2019 ini nampaknya diberikan rekaan yang berlainan dari model sebelumnya. Ia tampil dengan rupa seakan adiknya, SUV segmen-B Hyundai Kona – diberikan lampu nyalaan siang LED tirus pada bahagian atas sementara lampu utamanya pula (menggunakan teknologi LED projektor) ditempatkan pada bahagian bampar, bersama gril “cascading” signatur Hyundai.

Kelainan pada model generasi keempat ini diserlahankan pada garis bahu yang begitu menonjol, bermula dari lampu hadapan hingga lampu belakang. Namun garis bumbung SUV ini masih lagi hampir rata sama seperti model generasi ketiga, bersama rekaan pada tingkap sisi. Bahagian belakang pula Santa Fe kini diberikan sepasang lampu ‘two-piece‘ LED tirus dengan grafik berbentuk-C.

Model generasi baharu ini berukuran 4,770 mm panjang, 1,890 mm lebar dan jarak rodanya pula 2,765 mm. Berbanding model sebelumnya, ia jelas 80 mm lebih panjang (4,690 mm), 10 mm lebih lebar (1,880 mm) serta jarak roda 75 mm lebih jauh (2,700 mm).

Hyundai Sante Fe 2019 kini muncul di Korea – 2.0L turbo dan 2.2 L turbodiesel, transmisi auto 8-kelajuan

Kabin Santa Fe ini turut direka dengan elemen seperti Kona, menampilkan papan pemuka dengan konsep tiga-tingkat, bersama skrin tujuh-inci berdiri sendiri pada bahagian tengah, liang hawa dingin tirus, kawalan pendingin hawa dua-zon, serta tray untuk sistem pengecas tanpa wayar Qi pada tingkat paling bawah.

Balutan upholsteri tempat duduk ini juga diberikan lubang-lubang pada sebahagiannya dan elemen quilted pada sebahagian lagi – bergantung pada varian – bagi memberikan rasa yang lebih premium. Tempat duduk berkenaan juga diberikan fungsi pemanas dan liang pengudaraan serta boleh dilaras dengan kuasa elektrik dalam 10-hala.

Menurut Hyundai, dengan penggunaan cermin belakang yang 41% lebih besar membolehkan pandangan belakang SUV ini diperbaiki. Jarak roda yang lebih panjang pula memberikan ruang kaki yang lebih besar untuk penumpang baris kedua dan ketiga. Pada baris kedua, ruang lutut kini 28 mm lebih besar manakala tempat duduk pula 18 mm lebih tinggi. Fungsi satu sentuhan juga satu ciri baharu yang diberikan untuk memudahkan penumpang masuk ke tempat duduk baris ketiga yang kini 22 mm lebih ruang kepala.

Bagi sistem hiburan pula, Santa Fe dibekalkan dengan sistem bunyi dari Inifinity berkuasa 630-watt, dihubungkan kepada amplifier 11-saluran bersama teknologi bunyi Surround QuantumLogic dan Clari-Fi serta 12-unit pembesar suara.

Hyundai Sante Fe 2019 kini muncul di Korea – 2.0L turbo dan 2.2 L turbodiesel, transmisi auto 8-kelajuan

Sistem Clari-Fi berfungsi setiap masa untuk menghasilkan bunyi audio terperinci yang hilang pada muzik yang dimampatkan secara digital, manakala QuantumLogic pula mengekstrak isyarat dari rakaman asal dan diagihkan semula kepada pemain muzik dengan peringkat bunyi pelbagai dimensi yang menghasilkan bunyi yang “jelas, diperhalusi serta penuh dengan perincian.”

Hyundai menawarkan enam enjin untuk Santa Fe generasi baharu ini – empat petrol dan dua diesel. Untuk pasaran Korea, ia menerima enjin petrol 2.0 liter T-GDI serta enjin turbodiesel CRDi 2.0 liter dan 2.2 liter.

Kesemua pilihan enjin digandingkan bersama kotak gear lapan-kelajuan automatik yang dibina sendiri oleh Hyundai. Walaupun transmisi baharu ini mempunyai dua nisbah gear lebih banyak dari kotak gear enam-kelajuan sebelum ini, ia sebenarnya lebih ringan serta berfungsi tiga peratus ekonomikal.

Kuasa dari enjin dialirkan ke kesemua roda menerusi sistem pacuan semua roda HTRAC Hyundai. Sistem AWD dengan pelbagai mod tersebut membolehkan tork dibahagikan kepada gandar hadapan dan belakang secara elektronik menggunakan klac pembahagi tork serta sistem kawalan tork aktif.

Empat mod disediakan untuk sistem ini iaitu Eco, Normal, Sport dan Smart. Dalam mod Sport, sehingga 50% tork akan dihantar ke roda belakang, manakala untuk mod Comfort pula 35% tork akan dihantar ke belakang. Jika mod Eco dipilih, kuasa akan dihantar sepenuhnya ke roda hadapan bagi mengoptimakan ekonomi penggunaan bahan api.

Untuk pengendalian pula, Santa Fe kini menerima stereng yang ditala untuk lebih responsif. Suspensi juga telah diubah dengan talaan lebih keras serta penyerap hentak diletakkan pada posisi lebih tegak bagi mendapatkan strok lebih panjang yang menurut Hyundai menjadikan SUV ini lebih stabil serta lebih selesa dan NVH bersama kesenyapan keseluruhan dapat ditingkatkan.

Bunyi dari jalan juga dapat dikurangkan dengan penggunaan material yang lebih menyerap bunyi. Pelanggan juga diberikan opsyen suspensi dengan sistem larasan ketinggian automatik berdasarkan beban yang dibawa.

Buat kali pertama juga, Santa Fe diberikan sistem paparan head-up (HUD) yang memancarkan informasi pada cermin hadapan bagi memudahkan pemandu. Hyundai memberi jaminan bahawa sistem ini akan memberikan paparan terbaik dalam keadaan pencahayaan berbeza. Sistem HUD ini memberikan maklumat utama seperti arahan sistem navigasi, jumlah bahan api, serta pelbagai amaran dari sistem keselamatan aktif serta sistem bantuan pemanduan.

Bagi sistem keselamatan pula, SUV ini dilengkapkan dengan pakej keselamatan aktif dan bantuan pemanduan Hyundai SmartSense. Ia terdiri daripada sistem seperti Amaran Pelanggaran Titik Buta, Bantuan Mengelak Pelanggaran Hadapan bersama pengesan pejalan kaki, Bantuan Mengelak Kemalangan Lintasan Belakang, Bantuan Kekal Lorong, Amaran Penumpang Belakang, Bantuan Keluar Keselamatan serta Fungsi Informasi Had kelajuan.

Sistem Amaran Penumpang Belakang diberikan bagi mengingatkan pemandu bahawa masih ada penumpang di kabin belakang (contohnya kanak-kanak) ketika mereka keluar dari kereta. Sistem ini menggunakan penderia ultra untuk mengesan pergerakan di kabin belakang, dan ia turut berfungsi ketika kanak-kanak secara tidak sengaja mengunci kereta tersebut dari dalam.

Berbanding model-model Hyundai lain, Santa Fe dibina dengan 57% lebih keluli berketegaran tinggi atau 15% lebih dari model sebelumnya. Ia juga dilengkapi dengan enam beg udara bagi melengkapkan sistem keselamatannya.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required