Nissan Leaf baharu telah pun menerima penarafan keselamatan lima-bintang dari Program Penilaian Kereta Baharu Jepun (JNCAP), dengan memperoleh sebanyak 94.9 daripada 100 mata untuk ujian perlindungan penumpang, dan 67.82 mata bagi keselamatan pejalan kaki.

Elemen keselamatan yang disertakan banyak menyumbang kepada pencapaian Leaf, ini termasuklah enam beg udara, tempat duduk dengan perehat kepala dan back frame, tali pinggang keledar dengan pra-tekanan dan keupayaan pengehad beban untuk posisi tempat duduk hadapan dan belakang.

Leaf juga lulus ujian perlindungan kejutan elektrik JNCAP, di mana yang mengukur bagaimana kenderaan ini melindungi penumpang daripada kejutan elektrik akibat pelanggaran. Bekas bateri yang dilindungi dan peranti potongan voltan tinggi yang ada pada Leaf, akan diaktifkan apabila berlaku pelanggaran. Bentangan dan struktur badan Leaf juga mampu melindungi penumpang daripada bahagian bervoltan tinggi.

Leaf akan dipamerkan di Kuala Lumpur International Motor Show 2018 (KLIMS 18) tidak lama lagi, dan majlis pra-jualannya akan berlangsung selepas itu. Walau bagaimana pun, harganya masih belum dinyatakan, malah tidak dipastikan sama ada ia melibatkan model CKD atau pun CBU.

Leaf baharu ini hadir dengan motor elektrik yang telah diberi penambahbaikan berbanding model generasi pertama, kini mampu menghasilkan 38% lebih kuasa dan 26% lebih tork, pada 110 kW (148 hp) dan 320 Nm. Ia juga menggunakan bateri lithium-ion 40 kWh berkapasiti tinggi bagi menambahkan lagi kuasa pacuan elektrik sehingga 378 km (mengikut kitaran NEDC). Sebagai perbandingan, Leaf terdahulu menggunakan bateri 30 kWH yang mampu dipacu sehingga jarak 250 km.

GALERI: Nissan Leaf di simposium Nissan Futures, Singapura