PANDU UJI: Mercedes-Benz SLC 300 AMG Line – beri tumpuan terhadap gaya dan perincian pemanduan

PANDU UJI: Mercedes-Benz SLC 300 AMG Line – beri tumpuan terhadap gaya dan perincian pemanduan

Agak sukar untuk mencari titik “damai” ketika memikirkan tentang penawaran yang ada pada sebuah kereta roadster seperti Mercedes-Benz SLC 300 AMG Line ini. Dari satu sisi, aspirasi pemanduan yang ditawarkan menjadi tunjang utama yang sama ada akan benar-benar membuatkan pemandunya jatuh hati atau pun boleh jadi sebaliknya.

Dari satu sisi yang lain, aspek praktikaliti – terutama ketika mengambil kira ruang untuk meletak barangan, sekrianya ada – ia menjadi satu aspek kekurangan yang mungkin akan membuatkan sesetengah orang berasa sedikit terganggu.

Tetapi, sekiranya anda dapat memahami tujuan kenderaan begini dihasilkan, mungkin anda akan lebih tenang dan dapat menikmati setiap kelebihan yang ada padanya dengan pengalaman yang lebih positif tanpa terlalu terbawa-bawa oleh apa kurang padanya. Perkara yang menjadi satu kelebihan pada model ini ialah perincian pemanduan serta prestasi yang ditawarkan oleh model ini.

PANDU UJI: Mercedes-Benz SLC 300 AMG Line – beri tumpuan terhadap gaya dan perincian pemanduan

Untuk memahami tujuan model ini dibangunkan, kita tidak perlu merenung jauh; dengan memerhatikan rekaan fizikal serta visual keseluruhan kereta ini sahaja sudah cukup untuk mencadangkan imej serta hal-hal lain yang ingin ditawarkan dalam pakej keseluruhan model roadster berkenaan.

Ia berada dalam daerah yang sama dan berentap dengan beberapa model dari pengeluar lain, misalnya BMW Z4 yang menjadi pesaing paling hampir, atau model seperti Porsche Boxter, Jaguar F-Type Convertible dan dari pengeluar Jepun dengan taruhan harga yang lebih rendah, Mazda MX-5. Semuanya hadir dengan persamaan dalam reka bentuk roadster dan bumbung boleh diturunkan, walaupun harga dan prestasi ada perbezaan ketara.

Lihat profil sisinya. Rekaan roadster ini meletakkan kedudukan pemandu dan penumpang lebih rapat dengan tayar belakang, serta bahagian depan kereta ini – termasuk ruang yang menempatkan enjinnya – lebih panjang dengan kedudukan roda depan yang sedikit berjarak ke hadapan mencadangkan bahawa ia bukanlah sebuah jentera yang dibina untuk terlalu memikirkan tentang keperluan apa pun kecuali untuk memuaskan “gian” memandu. Harapnya tidaklah keterlaluan untuk menyatakan hal seperti ini berkaitan SLC.

PANDU UJI: Mercedes-Benz SLC 300 AMG Line – beri tumpuan terhadap gaya dan perincian pemanduan

Kedudukan kereta ini juga rendah. Untuk orang tinggi, anda perlu membongkok dahulu sebelum masuk ke tempat duduknya. Kemudian, dalam posisi duduk itu pula, kaki akan dilunjurkan ke hadapan dengan agak jauh ke dalam, untuk mencapai pedal minyak dan brek.

Sebagai rujukan, Mercedes-Benz SLC 300 ini mempunyai binaan dimensi seperti berikut; 4,133 mm panjang, 1,810 mm lebar, 1,301 mm tinggi serta jarak antara roda 2,430 mm. Beratnya pula ialah 1,505 kg.

Ini mungkin posisi paling hampir yang boleh anda rasa misalnya ketika duduk di dalam jentera lumba tempat duduk tunggal di litar. Bagaimanapun, itu tidaklah bermaksud pemandu atau penumpang akan berada dalam keadaan tidak selesa sepanjang berada dalam kereta ini. Ia sebaliknya lebih daripada sekadar selesa kerana rekaan tempat duduknya akan memeluk badan anda dengan sangat baik – empuk, padat dan tidak meletihkan.

PANDU UJI: Mercedes-Benz SLC 300 AMG Line – beri tumpuan terhadap gaya dan perincian pemanduan

Ruang kabin dan kokpitnya mungkin akan membuatkan sesetengah orang yang tidak biasa dengan suasana seperti itu berasa sempit; kerana ruang yang ada memang sedikit sahaja – seperti yang dapat anda lihat, kereta ini hanya memuatkan dua orang dalam satu-satu masa. Maka begitu jugalah dengan ruang-ruang lain yang berbaki.

Di sebabkan itu jugalah kereta-kereta dengan rekaan sebegini, bumbungnya boleh diturunkan. Ini membolehkan pemandu dan penumpangnya merasa lebih nyaman dan tenang – itupun sekiranya anda melalui jalan-jalan yang mampu memberikan suasana serta pengalaman tersebut.

Sepanjang memandu kereta ini, saya sendiri sangat jarang menurunkan bumbungnya. Kalau ada pun, diwaktu malam. Untuk keadaan di Malaysia, saya kira banyak perkara lain juga yang perlu anda fikirkan sebelum berbuat demikian.

Kalau siang hari di dalam yang cuaca panas, bumbung terbuka ini mungkin akan mengundang pandangan yang menyindir atau jenaka dari pengguna jalan yang lain. Kedua ialah tentang keselamatan barangan atau beg-beg kecil yang di bawa dalam kereta. Untuk bersiar-siar di Kuala Lumpur dengan kabin terdedah, kena peka jugalah terhadap persekitaran sebelum terjadi apa-apa yang tidak diingini.

Berkaitan ruang untuk membawa barang pada kereta ini, misalnya pada bahagian kabin, tidak keterlaluan kalau dikatakan sangat terhad. Untuk meletakkan beg tangan atau beg-beg kecil (misalnya beg kamera) saja anda perlu menggunakan ruang di lantai kaki. Ini tentulah bukan satu pilihan kepada pemandu kerana akan membahayakan keadaan.

Jika pemandu atau menumpang mempunyai tubuh fizikal yang agak rendah, akan ada satu penyelesaian lain; gerakkan kerusi kehadapan dan anda akan mempunyai sedikit ruang dibahagian belakang penyandarnya untuk beg barangan saiz kecil.

Beralih ke ruang but di belakang pula, ia juga hanya menyediakan ruang yang terhad; dibahagian bawah pelapik khas yang ada. Kalau anda ingin membawa beg pakaian yang besar, ini bukanlah kereta yang betul untuk tujuan seperti itu.

Sebab apa? Kerana ruang berkenaan diperlukan untuk menempatkan struktur bumbung ketika ia dilipat – but belakanglah yang akan menjadi tempat menyimpan mekanisme lipatan berkenaan. Ruang yang tersedia pada but berkenaan ialah 335 liter. Ini sebenarnya kapasiti yang terbaik bagi kenderaan dalam segmen yang sama.

Jadi, apa kelebihan Mercedes-Benz SLC 300 ini? Untuk saya, ada dua. Estetika reka bentuk dan prestasi pemanduan. Barangkali inilah tujuan utama kereta roadster ini dibangunkan. Bukan untuk memenuhi keperluan anda sebagai sebuah kenderaan harian yang versatile, tetapi lebih kepada menyerlahkan sisi sporty atau sebagai pernyataan kepada gaya hidup – bahawa pemiliknya berkemampuan dan ada citarasa dan pandangan berbeza terhadap kenderaan daripada kebiasaannya.

PANDU UJI: Mercedes-Benz SLC 300 AMG Line – beri tumpuan terhadap gaya dan perincian pemanduan

Elok juga kita tinjau spesifikasi mekanikal kereta ini. Mercedes-Benz SLC 300 ini menggunakan enjin berkapasiti 1,991 cc, empat-silinder sebaris dengan DOHC 16-injap dan turbocas yang mampu menghasilkan sebanyak 245 hp pada 5,500 rpm dan 370 Nm pada 1,300 rpm. Untuk kereta yang boleh dikatakan ringan ini, angka-angka ini memberi makna besar kepada keupayaan prestasi yang dapat dirasakan ketika memandu.

Kuasa yang dihasilkan itu disalurkan ke roda belakang melalui sistem transmisi 9G-Tronic automatik. Ini membolehkan kereta ini untuk mencapai pecutan 0-100 km/j dalam masa hanya 5.8 saat dengan had kelajuan maksimum 250 km/j. Kadar penggunaan minyak yang direkodkan pula ialah 5.8 liter per 100 km (mengikut piawaian NEDC).

Untuk bahagian bumbung pula, model ini dilengkapi dengan panoramic vario-roof – bumbung kaca dengan ciri Magic Sky-Control yang membolehkannya dicerahkan atau digelapkan melalui kawalan satu butang. Untuk membuka bumbungnya, jika dimulakan dalam keadaan pegun, proses berkenaan boleh diteruskan sekiranya kereta ini perlu bergerak sebelum ia selesai sepenuhnya asalkan masih berada dalam kelajuan di bawah 40 km/j.

Betulkan posisi ketika duduk, letakkan tangan pada stereng dan kaki bersedia untuk memijak pedal minyaknya dan kemudian masukkan gear D, serta-merta akan dapat dirasakan kelancaran yang dinamik pemanduan yang ada pada model ini. Dan, memang sukar untuk menafikan kelebihan yang satu ini, yang menjadi taruhan paling utama.

Mod pemanduan dari ciri Dynamic Select tersedia untuk pemandu; ada lima pilihan semuanya – Comfort, Sport, Sport+, Eco dan Individual. Setiap satu daripada mod ini akan memberikan maklumbalas yang berbeza bagi enjin, transmisi dan stereng, sesuai dengan kehendak pemandu.

Tidak ketinggalan ialah sistem keselamatan termaju turut mengiringi penawaran pada model ini. Selain daripada kelengkapan biasa, SLC 300 turut dilengkapi dengan Collision Prevention Assist Plus. Secara ringkasnya, sistem ini akan membantu menetapkan tekanan bergantung kepada situasi. Sekiranya risiko perlanggaran masih tinggi dan tiada input daripada pemandu, sistem ini akan melaksanakan fungsi autonomous braking.

Dalam pemanduan biasa juga anda akan menerima amaran berupa nyalaan lampu pada panel instrumen, begitu juga dengan bunyi amaran, misalnya ketika kereta anda sedang menghampiri kereta di depan dalam kelajuan atau jarak yang dirasakan berisiko untuk berlakunya perlanggaran. Apa yang penting, sekiranya ini berlaku, jangan panik dan kembalikan semula perhatian penuh kepada pemanduan.

Selain itu, pengguna juga boleh menikmati sistem infotainmen COMMAND Online yang dipertingkat. Antara yang baru ialah penggunaan skrin paparan TFT resolusi tinggi bersaiz 7-inci dengan capaian kepada aplikasi-aplikasi tersendiri Mercedes-Benz. Sistem audionya pula menggunakan talaan dari Harman Kardon.

Pemanduan waktu malam juga ada pengalaman yang tersendiri. Ini kerana penggunaan ciri LED Intelligent Light System yang boleh mengadaptasi persekitaran dengan lebih cekap. Adaptive Highbeam Active Plus pula membolehkan sistem ini untuk menetapkan jarak optimum lampu utama secara automatik; pemandu tidak perlu bersusah payah beralih dari lampu high beam kepada low beam secara manual.

Bagi pasaran Malaysia, Mercedes-Benz SLC dilancarkan secara rasmi pada September 2016 dengan dua varian ditawarkan. Model asas SLC 200 dijual pada harga RM398,000 manakala SLC 300 AMG Line yang dipandu uji ini pula dijual pada harga RM468,888. Harga yang dinyatakan adalah harga atas jalan termasuk GST, tanpa insurans.

Mercedes-Benz SLC 300 AMG Line

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required