Volvo S60 generasi akan didatang dikhabarkan bakal memulakan produksinya pada musim luruh ini di kilang pembuatan Volvo di Charleston, South Carolina. Terkini, CEO Volvo Håkan Samuelsson, telah mendedahkan teaser pertama menerusi laman sosial medianya, dengan foto unit prototaip yang diuji di Lofoten, Norway.

Entri tersebut dibuat sehari selepas Volvo memperkenalkan V60 wagon secara global, yang berkongsi banyak persamaan dengan S60 akan datang. Ini termasuklah penggunaan Scalable Product Architecture (SPA), serta penjana kuasa petrol, diesel dan hibrid. Malah hibrid dikhabarkan termasuk dengan larasan bagi T8 Twin Engine dan T6 Twin Engine.

Secara visual, S60 tidak tidak jauh bezanya dengan V60, berdasarkan apa yang boleh kita lihat. Bahagian hadapannya ditampilkan lampu utama dengan lampu nyalaan siang LED ‘Thor’s hammer’, gril yang lebih lebar dan rekaan bampar yang nampak agak biasa.

Cuma gaya badannya nampak berbeza daripada belakang, yang Samuelsson sengaja memotongnya dari foto beliau. Walau bagaimana pun, hasil render dari Theophilus Chin mungkin boleh memberikan sedikit gambaran untuk dijangka – mungkin adik kepada S90 pada dasaranya.

Apa pun, kita nantikan pendedahan rasmi untuk melihat imej yang dipertaruhkan bagi model ini. Memandangkan produksinya bakal bermula tahun ini, maka sudah pasti kita tidak perlu menunggu lama untuk melihat foto penuh S60 baharu ini.

GALERI: Volvo V60 2018