Sebelum ini Skoda telah mendedahkan sebahagian spesifikasi teknikal berkenaan SUV konsep Skoda Vision X, manakala ketika berlangsungnya Geneva Motor Show 2018, model tersebut telah didedahkan sepenuhnya. Model konsep ‘SUV urban’ ini diletakkan di bawah SUV sedia ada Karoq dan Kodiaq, dengan dimensi 4,255 mm panjang, 1,807 mm lebar dan 1,537 mm tinggi.

Pada bahagian muka, SUV ini diberikan jalur lampu LED nipis pada bahagian atas dan satu lagi lampu di bawahnya. Kedua-dua lampu tersebut mengapit gril signatur Skoda. Dua badan dapat dilihat pada bahagian sisi yang mana garisan utamanya menghubungkan lampu hadapan dan belakang.

Bahagian belakang juga menyaksikan model konsep tersebut menerima sepasang lampu LED yang direka tirus, manakala keempat-empat sudut diberikan roda aloi bersaiz 20-inci. Tidak banyak perincian kabin didedahkan dan jika anda lihat menerusi gambar, SUV ini diberikan papan pemuka ringkas dengan elemen segi-tiga, serta diberikan panel instrumen digital bersama skrin infotaimen pada bahagian tengah.

Apa yang benar-benar menarik pada SUV konsep ini adalah unit janakuasanya yang beroperasi menggunakan kuasa petrol dan gas asli (CNG) serta digandingkan dengan motor-motor elektrik dari sistem hibrid. Menurut Skoda, unit janakuasa tersebut membolehkan ia mencatatkan bacaan emisi CO2 serendah 89 g untuk satu km perjalanan. Ia turut didakwa akan memberikan penghantaran kuasa yang begitu cepat dan responsif, serta kuasa pacuan akan dihantar sama ada ke roda hadapan atau roda belakang, atau ke keempat-empat roda bergantung pada situasi.

Untuk enjin pembakaran dalaman Skoda Vision X ini, ia dibekalkan dengan enjin 1.5 liter TSI G-TEC empat-silinder turbo yang boleh beroperasi dengan kedua-dua jenis bahan api – petrol atau CNG. Enjin ini berupaya menjana 130 hp/250 Nm dengan menggunakan CNG. Tangki CNG dan tangki petrol bersaiz kecil diletakkan di bawah tempat duduk belakang, manakala satu lagi tangki CNG yang lebih besar diletakkan pada bahagian paling belakang.

Enjin tersebut akan memacu roda hadapan, manakala motor elektrik akan memacu roda belakang jika diperlukan, contohnya ketika mula memecut atau memberikan traction pada roda belakang ketika melalui permukaan jalan yang licin. Motor tersebut mampu memberikan tork maksima 70 Nm dan disuap oleh bateri lithium-ion 48-volt dan mampu menggerakkan SUV ini sejauh dua kilometer.

Satu lagi motor eletrik pada SUV ini diletakkan pada bahagian hadapan, yang merupakan generator-penghidup dipacu oleh tali sawat. Skoda Vision X ini merupakan model AWD pertama jenama berkenaan yang berfungsi tanpa aci kardan – membolehkan ia dibina lebih ringan serta motor elektrik berkenaan hanya berfungsi bila diperlukan sahaja.

Menurut Skoda, mod pacuan roda belakang akan memberikan tork 1,000 Nm pada permukaan jalan – Skoda belum menjelaskan secara terperinci dan kami juga belum dapat memahami sepenuhnya bagaimana ia dapat diberikan. Model ini juga dapat bergerak sejauh 650 km dengan tangki petrol tambahan yang dibekalkan. Ia dapat memecut dari 0-100 km/j dalam masa 9.3 saat sebelum mencatatkan kelajuan maksima 200 km/j.

Skoda menyatakan mobiliti-electro memainkan peranan yang penting dalam strategi pertumbuhan globalnya. Barisan model Skoda yang menerima teknologi elektrik akan bermula pada 2019 dengan pengenalan model Skoda Superb plug-in hybrid. Kilang jenama ini di Mlada Boleslav bakal memproduksi komponen elektrikal untuk model-model hibrid plug-in untuk berberapa jenama di bawah VW Group tahun hadapan, dan produksi model elektrik sepenuhnya dari Skoda akan menyusul selepas itu.