Tidak kisahlah apa jenama kenderaan sekalipun, pasti akan terdedah risiko ditiru oleh pengeluar dari China. Mercedes-Benz GLA adalah mangsa terbaru, di mana rekaan mirip dengannya telah digunakan pada model elektrik dari China, yang dinamakan sebagai K-One. Bukan setakat itu, mereka juga menggabungkannya dengan beberapa ciri daripada CLA dan A-Class.

Menuru AutoHome, K-One mempunyai ukuran 4,100 mm panjang, 1,710 mm lebar, 1,595 tinggi dan jarak roda 2,520 mm. Ini adalah sedikit kecil berbanding GLA sekarang yang mempunyai ukuran panjang 4,417 mm (-317 mm), lebar 1,804 mm (-94 mm) dan jarak roda 2,699 mm (-179 mm). Tetapi, K-One lebih tinggi, di mana GLA cuma 1,494 mm (-101 mm).

Berat K-One dikatakan sekitar 1,400 kg dan menggunakan kuasa pacuan elektrik. Kuasa yang dihasilkan adalah sekitar 54 PS (kuasa paling tinggi 130 PS), dan datang daripada pek bateri lithium-ion yang dibuat oleh Harbin Coslight Power. Tidak banyak perincian prestasi lain untuk kenderaan ini tetapi ia dikatakan mampu mencapai laju maksimum 102 km/j.

Daripada aspek rekaan, bahagian hadapannya boleh dilihat diambil terus daripada CLA, termasuklah bentuknya, serta rekaan lampu utama, gril serta cermin sisi. K-One ini menggunakan rim 16 inci yang dibalut tayar 205/55. Pergi ke bahagian belakang, ia menyerupai GLC dan bamparnya dijadikan agresif dengan bukaan udara hiasan, kemasan biru dan dua muncung ekzos (barang kali juga hiasan kerana ini adalah kereta elektrik).