Sejak mengumumkan mahu menghasilkan lebih banyak kenderaan elektrik menjelang tahun 2025, Volkswagen telah memperkenalkan satu demi satu model dalam keluarga yang dinamakan sebagai I.D. Bermula dengan model konsep pertama yang mempunyai bentuk seperti Golf, ia kemudiannya diikuti pula oleh I.D. Buzz, I.D. Crozz dan I.D. Vizzion.

Terbaru, syarikat dari Jerman ini memperkenalkan pula model paling sporty dalam keluarga I.D. ini iaitu I.D. R Pikes Peak. Ia adalah sebuah kenderaan elektrik sports yang akan digunakan oleh Volkswagen dalam perlumbaan Pikes Peak Hill Climb 24 Jun nanti di Colorado, Amerika Syarikat.

Tidak banyak yang didedahkan pada masa awal ini berkenaan I.D. R Pikes Peak, tetapi ia diberitahu menggunakan pacuan empat roda dan juga menandakan kerjasama yang lebih hebat antara cabang Volkswagen R dan Volkswagen Motorsport.

“Bertanding dalam perlumbaan mendaki bukit paling tekenal di dunia dengan I.D. R Pikes Peak bukan sahaja mempunyai makna yang simbolik, malah ia juga adalah ujian penting untuk pembangunan am kenderaan elektrik,” kata ahli lembaga pengarah pengurusan bahagian pembangunan Volkswagen, Dr. Frank Welsch.

Perlumbaan Pikes Peak melibatkan jarak sejauh 19.99 kilometer dan jalannya mendaki bukit sehingga ke ketinggian 4,300 meter dari paras laut di garisan penamatnya. Rekod kelas kenderaan prototaip elektrik kini dipegang oleh Rhys Millen yang memandu e0 PP100, dan Volkswagen akan cuba memecahkannya dengan I.D. R Pikes Peak.