Jika apa yang muncul dalam majalah Best Car dari Jepun ini boleh dipercayai, nampaknya Toyota Prius akan diberikan facelift tidak lama lagi. Model hibrid generasi keempat sekarang sudah berada dalam pasaran sejak tahun 2015, dan waktu untuk pembaharuan sememangnya diperlukan.

Melihat kepada gambar ini, bahagian depan Prius baru nampaknya akan menggunakan lampu utama yang lebih nipis, dan tiada lagi bahagian yang menurun ke bawah. Selain daripada itu, terdapat juga jalur LED menegak di hujung bampar tersebut, bersama bukaan udara bawah yang direka semula untuk menempatkan lampu kabus berbentuk bulat.

Pergi pula ke bahagian belakang, lampunya serba baru, dengan bentuk lebih tajam, dan garisannya bersambung dengan ‘spoiler‘ di atas penutup but belakang. Bampar juga adalah baru, dengan rekaan yang lebih bersih dan terdapat garisan ke bawah di penjurunya.

Masih belum dapat dipastikan sama ada enjin hibrid pada kenderaan ini akan diberikan naik taraf, dan kita perlu menunggu pengumuman rasmi daripada Toyota sendiri. Prius yang ada sekarang menggunakan enjin petrol empat silinder 1.8 liter Atkinson Cycle VVT-i berkuasa 97 hp/ 142 Nm dan dipadankan bersama motor elektrik 71 hp/ 163 Nm tork.