Seperti yang diumumkan sebelum ini, Volkswagen telah pun mendedahkan model konsep yang dibina berdasarkan kereta lumba TCR sebenar untuk produksi jalan raya digelar Golf GTI TCR Concept ketika berlangsungnya festival tahunan VW Golf GTI di Wörthersee, Austria. Walaupun muncul sebagai kereta konsep, model ini dijangka akan dipasarkan dengan bentuk dan spesifikasi hampir serupa lewat tahun ini.

Kereta ini masih dijana enjin 2.0 liter empat-silinder turbo TSI, namun diberi talaan bagi membolehkan ia menjana 290 PS dan tork maksima 370 Nm – angka yang hampir menyamai Golf R. Tidak seperti Golf R yang digerakkan sistem pacuan AWD, kuasa enjin Golf GTI TCR hanya memacu roda hadapan menerusi kotak gear klac berkembar automatik DSG tujuh-kelajuan yang turut disertakan dengan unit LSD.

Angka prestasi juga belum diumumkan, tetapi ia sudah pasti mampu memecut dari 0-100 km/j jauh lebih pantas dari GTI standard. Walau bagaimanapun, VW mengumumkan dua opsyen boleh dipilih oleh pembeli. Untuk pilihan standard, kereta ini diberikan rim forged “Belvedere” 18-inci, brek bersaiz lebih besar manakala kelajuan maksimanya dihadkan secara elektronik pada 250 km/j.

Jika anda rasa tidak cukup, opsyen kedua boleh dipilih yang menawarkan rim 19-inci, suspensi sport 20 mm lebih rendah serta boleh dilaras, kawalan casis adaptif (DCC), sistem ekzos titanium dari Akrpovic, dan Vmax limiter yang boleh membuka kekangan kelajuan maksima bagi memberikan Golf GTI TCR ini mencapai 264 km/j, secara tidak langsung menjadikan ia sebagai Golf GTI terpantas dalam barisan model.

Bagi membezakan model ini dengan GTI standard, ia diberikan pengayaan baharu di bahagian luar dengan pemadanan kit baharu terdiri dari spoiler hadapan, skirt sisi, projektor logo serta lencana-lencana TCR pada tempat yang sepatutnya. Manakala untuk kabin, tempat duduk model istimewa ini dibalut dengan gabungan gentian mikro dan fabrik, termasuk pada panel pintu dan tombol gear. Serlahan berwarna merah turut ditampilkan pada jahitan dan juga pada jalur penanda roda stereng.