Umum mengetahui, bermula 1 Jun ini kadar Cukai Barangan dan Jualan (GST) bakal ditetapkan pada kadar 0% peratus, manakala Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sah akan dikenakan semula tetapi tarikh perlaksanaannya masih belum diumumkan.

Ini merupakan peluang keemasan buat rakyat Malaysia untuk membeli kereta baharu, kerana ia merupakan tempoh “bebas cukai” di mana kedua-dua cukai berkenaan tidak dikenakan. Dan seperti senarai-senarai harga yang dikeluarkan oleh jenama-jenama automotif di Malaysia, menyaksikan pengurangan harga yang signifikant terutamanya pada model-model berharga tinggi.

Namun seperti yang dinyatakan oleh ahli Majlis Penasihat Kerajaan, Tun Daim Zainuddin, SST akan kembali dikenakan dalam masa dua, tiga bulan dari sekarang. Manakala Menteri Kewangan, Lim Guan Eng juga telah menjelaskan bahawa SST akan dikenakan pada kadar 10% (berbanding 6% pada GST), sama seperti ia dikenakan sebelum April 2015.

Menurut pemain-pemain industri, ini berkemungkinan akan menyebabkan harga kereta lebih mahal ketika era GST. Dalam laporan NST, Presiden Persatuan Automotif Malaysia (MAA) Datuk Aishah Ahmad berkata, “sebelum GST diimplementasikan, SST pada kadar 10%. Jika kita mengambil kira angka ini, kami jangka harga kenderaan akan naik, selepas-SST. Ini merupakan jangkaan mudah jika kadarnya sama.”

MAA menjangkakan kerajaan akan merendahkan kadar SST agar ia lebih rendah dari GST (6%) bagi membolehkan kenderaan dijual lebih murah dan menggalakkan masyarakat untuk membelinya. “Kami akan melihat kehadapan berkenaan keputusan kerajaan terhadap SST. Ketika GST diimplementasi, harga kereta turun sedikit,” jelasnya.

Sementara itu, Perodua masih lagi belum boleh mengesahkan sama ada harga kereta akan naik atau turun setelah SST dikembalikan semula nanti. Presiden dan CEO syarikat berkenaan, Datuk Aminar Rashid Salleh berkata masih terlalu awal untuk membuat sebarang spekulasi mengenai perkara ini, dan pihaknya masih perlu berjumpa dengan pemegang kepentingan yang terlibat bagi mendapatkan perincian selanjutnya.

“Kami akan bersedia untuk implementasi SST dan kami menunggu keputusan kerajaan berkenaan bila ia akan dikenakan,” katanya. Jadi untuk anda sendiri, masih tunggu dan lihat atau terus mengambil kesempatan untuk membeli kereta baharu Jun ini?