Spyshot kapcai baru Yamaha tersebar – Y15-ZR VVA?

Spyshot kapcai baru Yamaha tersebar – Y15-ZR VVA?

Masih panas sekarang ini dengan berita pelancaran model Yamaha terbaru, YZF-R15 yang dilakukan hujung minggu lalu di Pulau Pinang. Kini dalam media sosial, tersebar lagi gambar spyshot satu lagi model yang ramai menjangkakan adalah versi baru Y15-ZR sedang diuji. Gambar yang kami naikkan ini diambil dari akaun Instagram Team_Y15ZR_Malaya.

Berdasarkan kenderaan yang berada di sekeliling, jelas ia diambil di Malaysia, tapi model sebenarnya masih tidak diketahui kerana kualiti gambar yang rendah. Ada juga yang mendakwa, gambar ini diambil di sekitar Sungai Buloh. Seperti yang diketahui, kilang Hong Leong Yamaha Motor memang berada di Sungai Buloh, dan mereka adalah antara syarikat yang aktif mengadakan ujian atas jalan bagi model baru.

Dengan meneliti gambar salah satu motosikal tersebut (serba hitam dengan jalur biru), kami dapati banyak bahagian pada motosikal ini, termasuk lampu DRL serta lampu penunjuk arah depannya menyerupai model Y15-ZR yang berada di pasaran sekarang, tetapi lampu utamanya sedikit berlainan. Satu lagi model di sebelahnya pula kelihatan seperti SYM VF3i (warna perak).

Menyelidik lebih lanjut, kami telah menjumpai bahawa di Vietnam juga sedang kecoh dengan satu model yang akan dilancarkan oleh Yamaha dalam masa beberapa hari lagi. Jemputan yang dihantar juga mempunyai gambar bahagian lampu utama motosikal tersebut yang kelihatan seperti lampu motosikal di dalam gambar spyshot ini. Lampu itu terbahagi kepada tiga bahagian iaitu dua yang di tepi untuk lampu biasa dan tengah mungkin untuk lampu tinggi.

Media di sana menjangkakan ia adalah Yamaha Exciter 2019 (di negara kita Exciter dipasarkan sebagai Y15-ZR), dan berdasarkan gambar yang mereka perolehi di sana, ia turut mempunyai lencana VVA, 155 dan BlueCore pada motosikal tersebut. Jika benar, ini mungkin adalah unit enjin sama seperti NVX155 atau YZF-R15 yang kuasanya boleh menjadi antara 14.8 hp/13.8 Nm hingga 19.3 hp/15 Nm tork.

Media di sana juga menjangkakan model baru ini akan tiba dengan pelbagai peningkatan lain seperti panel meter digital serta sistem tanpa kunci. Sama-sama kita nantikan sekiranya ada sebarang berita daripada Hong Leong Yamaha Motor sendiri nanti. Anda rasa menarik tak rekaan serta naik taraf yang dilakukan pada model ni?

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required