Toyota Vios terbaru, yang dikenali dengan nama Yaris Ativ dengan enjin 1.5 liter di Thailand, telah dilancarkan di Indonesia April lalu. Hanya ada tahap kemasan E dan G ditawarkan ketika itu, dengan versi paling lengkap, TRD Sportivo tidak lagi diteruskan.

Bagaimanapun, ketika pameran GIIAS 2018 yang berlangsung, Toyota Astra Motor ada mempamerkan sebuah model prototaip “Toyota Vios TRD” dengan penampilan yang lebih garang. Versi ini mengenakan bodykit lengkap yang lebih menonjol. Kemasan hitam turut menyuntik imej tersendiri seperti yang dapat dilihat pada perumah lampu kabusnya.

Bukaan gril pada bahagian bampar bawah juga lebih luas. Ini sedikit sebanyak memberikan “rupa” yang berlainan. Di belakang juga membawa imej sporty yang sama, misalnya dengan tambahan spoiler pada bonet dan juga rekaan bahagian bawah bampar yang lebih “sibuk”.

Unit yang dipamerkan ini menggunakan rim 17-inci (bukan dari TRD) dengan bahagian tiang A dan C mengenakan warna hitam. Bahagian dalamannya pula diberikan pembalut kerusi merah/hitam dengan logo TRD. Sebelum ini, Yaris Ativ TRD prototaip turut pernah ditunjukkan di Thailand Mac lalu. Kemungkinan besar versi TRD ini akan diperkenalkan secara rasmi nanti.