Toyota Corolla berprestasi tinggi versi Gazoo Racing – kemungkinan semakin tinggi, guna janakuasa hibrid

Toyota Corolla berprestasi tinggi versi Gazoo Racing – kemungkinan semakin tinggi, guna janakuasa hibrid

Desas-desus bahawa Toyota bakal menghasilkan hot-hatch berdasarkan Corolla Hatchback generasi baharu kini bertiup lebih kencang. Kali ini presiden dan CEO Toyota Eropah Dr Johan van Zyl pula membuka mulut berkenaan hal tersebut dalam laporan AutoExpress ketika berlangsungnya Paris Motor Show 2019.

Menurut van Zyl, syarikatnya kini sedang mengenalpasti model-model yang berpotensi menerima lencana Gazoo Racing Master of Nürburgring (GRMN) selepas kejayaan menghasilkan hot-hatch kompak Toyota Yaris GRMN.

“Aspirasi kami adalah untuk menawarkan pilihan yang luas untuk kereta-kereta GR kepada pelanggan bagi membawa keterujaan kepada jenama. Jadi apabila kami bersama dengan barisan produk kami akan melihat setiap daripadanya dan berkata ok mana yang mungkin? Adakah model ini sesuai dengan jenama GR? Bolehkan kami menghasilkan keterujaan dengannya?” kata van Zyl.

Selain dari SUV RAV4, Toyota hadir dengan Corolla Hatchback pada Paris Motor Show tahun ini bagi mewakili produk-produk terbaharu mereka. Saingan Toyota di Eropah iaitu Skoda membawakan model konsep hot-hatch hibrid Vision RS pada acara tersebut dan van Zyl mengesahkan mereka akan melakukan perkara hampir sama dan Corolla berpotensi untuk projek berkenaan.

Toyota Corolla berprestasi tinggi versi Gazoo Racing – kemungkinan semakin tinggi, guna janakuasa hibrid

“Saya rasa apa yang kami cuba sampaikan adalah faktanya kami telah menlancarkan model 2.0 liter hibrid dalam barisan model Corolla. Kami katakannya ia tidak mustahil. Kami boleh jadikannya model hibrid yang lebih menarik dan sporty. Teknologinya sudah ada. Hanya cara kamu talanya sahaja.”

Apa yang van Zyl katakan ini agak sama seperti apa yang disebut oleh ketua jurutera Corolla Hatchback, Yasushi Ueda. Dalam laporan sebelum ini, Ueda mengatakan Corolla tersebut dibina berasaskan platform Toyota New Global Architecture (TNGA) yang turut digunakan sebagai asas untuk crossover Toyota C-HR dan Prius generasi baharu. Jadi selain dari mempunyai titik graviti rendah yang memudahkan ia ditala bagi memberikan pemanduan lebih berprestasi tinggi, ia juga tidak mempunyai masalah untuk diberikan unit janakuasa hibrid.

“Sudah tentu, untuk masa hadapan hot hybrid kedengaran sangat bagus,” kata Ueda. Sekiranya projek ini benar-benar menjadi kenyataan, kereta berkenaan berkemungkinan bakal dipacu dengan sistem pacuan semua roda – kuasa dari enjin petrol pada roda hadapan, sementara motor elektrik akan memacu gandar belakang, menurut laporan dari Drive berkenaan.

Sejak generasi pertama, Toyota Corolla sering dikaitkan dengan ‘kereta keluarga’, tetapi sebenarnya Corolla sememangnya telah mempunyai varian lebih sportynya sendiri bermula dengan Sprinter KE15 pada tahun 1968, dan yang terakhir pasangan kembar Levin/Sprinter Trueno AE111 pada tahun 2000.

Jika benar Corolla ini dihasilkan kelak, tak dapat beli pun kita bakal terhibur dengan pertarungan klasik sambungan dari Levin/Trueno BZ-R AE111 Vs. Civic EK9 Type R, dan melihat bagaimana Toyota terjun ke kancah persaingan hot-hatch global yang kini disertai oleh Honda Civic Type R FK8, Volkswagen Golf GTI, Hyundai i30 N dan juga Renault Megane RS.

Selain dari Gazoo Racing, penala persendirian yang dilantik sebagai salah satu badan perlumbaan dan penala rasmi Toyota sejak era 70’an iaitu Tachi Oiwa Motor Sports atau lebih dikenali sebagai TOM’S turut telah mengumumkan visi mereka bagi menghasilkan Corolla hatchback yang lebih sporty versi mereka sendiri, digelar TOM’S Toyota Corolla Sport.

GALERI: Toyota Corolla Hatchback generasi baharu pasaran Amerika Syarikat

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required