Jaguar I-Pace telah diumumkan sebagai penerima anugerah Kereta Tahunan Jerman 2019, dengan menewaskan pencabar terdekatnya seperti Audi A6, Volkswagen Touareg, Peugeot 508 dan Hyundai Nexo.

Malah I-Pace turut menewaskan 59 kereta lain dalam ujian perbandingan yang dikendalikan oleh panel yang terdiri daripada wartawan permotoran, dengan kenderaan elektrik (EV) sepenuhnya pertama dari Jaguar itu menerima pujian untuk pemanduan dinamik, prestasi dan gaya.

Aspek yang dinilai berdasarkan rekaan kenderaan, prestasi, pengendalian, daya maju masa depan dan apa juga yang berkaitan bagi setiap model di jalan raya dan litar Bilster Berg.

“Kami sangat berbangga menerima penghargaan daripada media Jerman bagi EV pertama kami, Jaguar I-Pace. Menerima anugerah sebegini di tanahair bagi jenama premium ini memang tidak ternilai,” ujar Ralf Speth, CEO bagi Jaguar Land Rover.

I-Pace diperkenalkan pada Mac tahun ini, dengan padanan bateri lithium-ion 90 kWh yang mampu menyalurkan kuasa ke dua motor elektrik (satu bagi setiap gandar) untuk sistem output keseluruhan sehingga 400 PS dan tork 696 Nm. Hanya mengambil masa sekitar 4.8 saat untuk pecutan dari 0-100 km/j, dengan kadar WLPT mencecah 480 km.