Mei lalu, gabungan penala Van-Sport dan pasukan M-Sport (yang mengendalikan pasukan rali dunia Ford) iaitu MS-RT telah memperkenalkan Ford MS-RT Transit Custom, iaitu van komersil yang menerima talaan prestasi dan juga rupa yang diinspirasikan dari jentera rali WRC Ford. Namun dengan kualiti yang memenuhi standard, Ford UK bersetuju untuk memasarkan pakej ubahsuai ini di pengedar rasminya, menurut laporan Autocar.

Ford telah membuat penilaian terhadap produk MS-RT berkenaan, dan setelah berpuas hati dengan kualiti pengeluarannya yang memenuhi standard, MS-RT dianugerahkan sijil Pengubahsuai Kenderaan Berkelayakan (QVM) oleh Ford. Ini bermakna, pakej berkenaan seolah-olah adalah peralatan rasmi dari Ford dan ubahsuai yang dilakukan tidak akan menjejaskan waranti dari pengeluar.

Berbeza dengan model Transit Custom standard, van ini menampilkan rupa yang lebih agresif seakan kereta rali sebenar dengan pemadanan gril dan juga bampar hadapan baharu bersama lampu kabus bersepadu, diffuser hadapan, fender flare bagi menampakkan badannya lebih lebar, diffuser belakang dan juga spoiler belakang.

Van ini juga menerima rim aloi Anthracite berdiameter 18-inci dari OZ Racing yang dibaluti tayar Hankook Ventus S1 Evo istimewa dengan kadar bebanan 103 XL. Badan van ini juga direndahkan menerusi pemadanan spring dari Eibach, dan juga diberikan sistem ekzos sport dengan dua tip bagi melengkapkan rupanya.

Pada bahagian kabin pula, van istimewa ini dipadankan dengan tempat duduk sport balutan kulit Nappa dan sued, roda stereng rata di bawah dengan kemasan gentian karbon dan juga karpet-karpet kaki MS-RT bersama jam pada papan pemuka yang diinspirasikan dari kereta rali.

Ford menyediakan pelbagai versi untuk dipilih bagi van ini termasuk panel van dua-tempat duduk, panel van tiga-tempat duduk, double cab lima-tempat duduk serta double cab enam-tempat duduk. Anda turut boleh memilih sama ada dari versi jarak roda panjang atau pendek dan juga model dengan pintu tailgate tunggal atau dua.

Namun tidak seperti Transit R-Spec Edition yang menerima talaan enjin, Ford MS-RT Transit Custom ini masih lagi digerakkan oleh enjin turbodiesel standard 2.0 liter EcoBlue TDCi berkuasa 168 hp/405 Nm dengan pilihan kotak gear enam-kelajuan manual atau enam kelajuan automatik.

Laporan portal dari UK tersebut turut menyatakan bahawa Ford turut mengiktiraf pakej talaan MS-RT untuk trak pikap Ford Ranger. Pakej tersebut menawarkan rim aloi 18-inci kemasan grafit dibalut dengan tayar lebih prestasi off-road, balutan kulit nappa pada bahagian dalaman dan juga sistem ekzos MS-RT. Pakej opsyen turut ditawarkan dengan kit suspensi untuk meninggikan lagi trak pikap berkenaan, bar lampu LED, pelindung bawah badan serta unit snorkel untuk menyelam.

Van Ford MS-RT Transit Custom ini boleh dibeli di pengedar Ford UK terpilih dengan harga bermula £29,995 (RM161k) untuk model asas varian single-cab, hingga £35,995 (RM193k) untuk model tertinggi R-Spec. Harga bagi Ford Ranger MS-RT walau bagaimanapun masih belum diumumkan.