SUV tujuh-tempat duduk Nissan Terra telah dianugerahkan penarafan lima-bintang oleh Program Penilaian Kereta Baharu untuk Negara Asia Tenggara (ASEAN NCAP). Model berasaskan Navara NP300, dan bersaing dengan Toyota Fortuner, Mitsubishi Pajero Sport, Ford Everest dan Isuzu MU-X di rantau ini.

Bagi ujian Perlindungan Penumpang Dewasa (AOP), Terra memperoleh 32.18 daripada 36 mata, dengan laporan ASEAN NCAP menyatakan terdapat perlindungan yang mencukupi untuk bahagian dada. Sementara SUV ini turut mengumpul 40.74 daripada 49 mata bagi ujian Perlindungan Penumpang Kanak-kanak (COP), memperoleh mata penuh untuk ujian hadapan dan sisi.

Akhir sekali, bagi ujian Teknologi Bantuan keselamatan (SAT), Terra yang boleh didapati dengan pilihan paparan titik buta, memperoleh 12.73 daripada 18 mata. Jumlah keseluruhan untuk markah dengan ujian AOP, COP dan SAT adalah sebanyak 83.17 mata.

Model yang diuji ialah Terra 2.3V 2WD 7AT dari Thailand, dan markah ini boleh digunakan untuk semua kereta yang dijual di negara ASEAN. Di Thailand, Terra ditampilkan dengan enjin 2.3 liter turbodiesel (190 PS/450 Nm) dan transmisi automatik tujuh-kelajuan. Semua model didatangkan dengan beg udara secara standard di sesetengah pasaran dan hanya ada dua unit untuk yang lain-lain.