Seperti biasa, Daihatsu antara jenama yang setia untuk mempertontonkan kereta-kereta custom mereka ke acara tahunan budaya ubahsuai kenderaan Jepun, Tokyo Auto Salon. Untuk edisi 2019 yang akan berlangsung Januari ini, pelbagai lagi kereta yang akan di bawa oleh Daihatsu, diasaskan dari model-model seperti Mira Tocot, Boon, Thor, Move Canbus dan Copen.

Model edisi terhad Copen Coupe yang baru sahaja diumumkan sebelum ini turut akan dipamerkan. Model yang dihasilkan hanya 200 unit diberikan bumbung keras tersebut akan menemani sebuah lagi Copen iaitu Cero Sports Premium Version, menampilkan bumbung kanvas boleh buka bersama kit badan lebih dan rim lebih sporty bersama gril kemasan krom.

Untuk Boon, Daihatsu telah menghasilkan versi yang digelar Boon Style Elegant. Diasaskan dari Boon generasi terkini, ia diberikan banyak kemasan krom bersama warna badan keseluruhan biru gelap.

Bagi model yang memenangi kategori Mobiliti Kecil dalam anugerah Kereta Tahunan Jepun 2018-2019, Mira Tocot pula akan di bawa dalam dua versi ubahsuai. Yang pertama adalah Tocot Active, yang diberikan rupa lebih lasak dengan bampar dan gril baharu, rak bumbung dan rim ‘dulang’ berwarna beige dibaluti tayar ‘lipan’ bersaiz kecil.

Yang kedua pula adalah Tocot Elegant. Seperti namanya, versi ini kelihatan lebih bergaya dengan gril krom bersaiz besar besar, warna putih untuk keseluruhan badan dan juga rim aloi lima-jejari.

MPV kecil Daihatsu turut akan mewarnai booth mereka di TAS 2019. ‘Vellfire kecil’ Daihatsu Thor Custom Premium menampilkan gril krom yang sangat besar, akan di temani Move Canbus Hatsune Miku Limited Package. Kenal Hatsune Miku? Ia adalah watak suara maya permainan video Vocaloid, dan badan Move Canbus berkenaan diberikan warna badan seiras rambut Hatsune Miku.

Selain itu, dua buah lori kecil Daihatsu Hijet akan dibawa ke TAS 2019. Jenama berkenaan turut telah merestorasi semula kereta lumba Daihatsu P5 1968, dan ia juga akan dipamerkan pada acara tersebut.