Mercedes-AMG A35 4Matic Sedan V177 didedahkan – 2.0L turbo, 306 hp/400 Nm, dengan ruang kargo 420L

Mercedes-AMG A35 4Matic Sedan V177 didedahkan – 2.0L turbo, 306 hp/400 Nm, dengan ruang kargo 420L

Selepas versi hatchback A 35 didedahkan tahun lalu, kini giliran model sedannya pula muncul. Seperti dijangka, Mercedes-AMG A 35 4Matic Sedan V177 ini berkongsi sebahagian besar rupa dan teknologi dari hot-hatch lawan terus kepada Volkswagen Golf R berkenaan.

Oleh itu, kereta ini masih dijana enjin M260 2.0 liter turbo di tala bagi menghasilkan 306 hp pada takat 5,800 rpm dan tork maksima 400 Nm bermula 3,000 hingga 4,000 rpm. Kesemua kuasa dihantar ke keempat-empat roda menerusi kotak gear klac berkembar automatik tujuh-kelajuan AMG Speedshift 7G bersama sistem pacuan semua roda 4Matic.

Sistem 4Matic berkenaan mampu untuk menghantar tork ke gandar belakang sehingga 50% menerusi klac pelbagai lapisan electro-mekanikal. Dan dengan sistem launch control yang disediakan pada Race Mode, sedan kompak ini akan berlepas seperti lastik bagi mencatatkan pecutan 0-100 km/j dalam masa 4.8 saat, atau hanya 0.1 saat lebih perlahan dari versi hatchback yang lebih ringan.

Mercedes-AMG A35 4Matic Sedan V177 didedahkan – 2.0L turbo, 306 hp/400 Nm, dengan ruang kargo 420L

Berbanding model standard, versi prestasi tinggi sebenar AMG ini diberikan kerangka badan yang lebih tegar. Bahagian hadapan diberikan panel aluminum digelar “shearing plate”, dan bersama pendakap diognal tambahan, ia memberikan ketegaran torsi bagi membolehkan A 35 Sedan ini mengambil selekoh dengan lebih jitu serta sudut toe dan camber lebih baik untuk lebih kestabilan pada kelajuan tinggi.

Bahagian hadapan juga masih menerima suspensi topang McPherson dengan geometri gandar istimewa dan lengan-lengan kawalan ringan diperbuat dari aluminium. Manakala di belakang diberikan sistem empat-hubungan yang sama seperti model hatchback A 35.

Jika anda memilih sistem suspensi AMG Ride Control, ia turut didatangkan dengan penyerap hentak adaptif, dan juga sistem stereng sport elektro-mekanikal sensitif kelajuan serta AMG Dynamics torque vectoring yang berfungsi menggunakan sistem brek.

Mercedes-AMG A35 4Matic Sedan V177 didedahkan – 2.0L turbo, 306 hp/400 Nm, dengan ruang kargo 420L

Rupa A 35 Sedan ini juga kekal agresif sama seperti versi hatchback. Ia menerima pakej penggayaan penuh AMG Line, terdiri dari gril twin-louvre, liang udara hadapan lebih besar dan juga skirt sisi lebih labuh. Manakala di belakang, bampar sedan ini menerima diffuser bersama dua tip ekzos oval, serta spoiler pada penutup but.

Pembeli boleh memilih sama ada mahukan A 35 Sedan mereka dengan set rim bersaiz 18- atau 19-inci. Dan disebalik roda tersebut, kereta ini dihentikan dengan angkup monoblok empat omboh bersama cakera ditebuk 350 mm di hadapan, serta angkup satu omboh dan cakera 330 mm di belakang.

Cukup ganas? Kalau tidak cukup, anda turut boleh memilih pakej AMG Aerodynamic yang terdiri dari splitter udara hadapan, spoiler belakang lebih besar dan juga liang udara palsu pada bampar belakang bagi menyerlahkan lagi rupa diffuser yang diberikan.

Bahagian kabin sedan ini turut menyerupai model hatchback dengan paparan instrumen digital sepenuhnya Widescreen Cockpit yang terdiri dari dua buah skrin yang masing-masing bersaiz 10.25-inci serta sistem perantara baharu Mercedes-Benz User Experience (MBUX) menggunakan arahan suara ‘Hey, Mercedes’ yang menggantikan sistem COMAND sebelumnya. Namun sudah tentu keistimewaan model sedan ini adalah tahap praktikalitinya, menerusi ruang but belakang yang menawarkan ruang kargo 420 liter.

Ciri opsyenal pada sedan berprestasi ini termasuk roda stereng rata di bawah AMG Performance, yang diberikan dua butang dan suis putar yang boleh digunakan bagi menetapkan pilihan sistem AMG Dynamic Select, menawarkan pilihan talaan mod pemanduan Slippery, Comfort, Sport, Sport + dan Individual.

Juga sama dengan kembar hatchbacknya, sistem MBUX pada A 35 ini turut menawarkan opsyen istimewa AMG Track Pace. Pilihan berkenaan mampu untuk merekod lebih dari 80 data spesifik ketika kereta tersebut dipandu di litar, termasuk rekod masa lap dan juga masa sektor dalam warna merah atau hijau. Ia berfungsi menerusi sistem GPS dan telah diberikan pra tetapan untuk litar Nürburgring atau Spa Francochamps.

Peta paparan boleh dipilih dalam bentuk 2D atau 3D dan dikemaskini secara dalam talian. Ia turut disertakan dengan pengajar maya menerusi sistem fungsi A.I MBUX yang memberikan anda panduan bagi mendapatkan masa lap yang lebih pantas.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required