DB2014AU00414_large.JPG.

Pada tahun 2014, Volkswagen telah mendedahkan satu model konsep Golf yang lebih berkuasa dari versi R, digelar Golf R400, dijana enjin 2.0 liter TSI berkuasa 400 PS dan tork maksima 450 Nm. Model berkenaan dirancang untuk diproduksi, namun kerana skandal Dieselgate yang menyebabkan sumber kewangan VW terjejas, projek tersebut terpaksa dibatalkan.

Menerusi Golf generasi Mk8 baharu, projek ini sekali lagi dikhabarkan akan diteruskan. Menurut laporan Autocar, divisi berprestasi tinggi Volkswagen R kini sedang merancang varian Golf R Plus yang dijana enjin “hampir 400 hp” bagi memberikan cabaran terus kepada Mercedes-AMG A45 4Matic generasi W177 yang akan muncul tidak lama lagi.

“Kami cuba untuk memperkenalkan model prestasi ‘halo’ yang akan menawarkan prestasi lebih tinggi dari Golf R selepas ini,” kata sumber dalaman VW kepada portal automotif UK berkenaan.

‘Mega hot-hatch’ berkenaan dikatakan kini sedang dibina bersama Golf R generasi baharu di ibu pejabat R&D Volkswagen, Braunschweig, Jerman. Model tersebut diasaskan dari Golf Mk8, tetapi unit janakuasanya mungkin menyamai apa yang ada pada model konsep Golf Mk7 R400 Concept dan teknologi dari kereta lumba Golf TCR yang dibangunkan oleh Volkswagen Motorsport.

Kereta ini turut menerima sistem pacuan semua roda dan di dakwa sebagai “Golf paling ekstrem dan berkuasa setakat ini”. Ia akan menggunakan enjin petrol turbo EA888, dengan talaan sekitar 400 hp. Model konsep R400 sebelum ini mampu untuk memecut dari 0-100 km/j dalam masa 3.9 saat dengan kelajuan maksima 280 km/h – ini akan menjadi tanda aras kepada Golf R Plus yang akan dilahirkan nanti.

Walaupun produksi untuk model Golf lebih liar ini masih belum diluluskan, menurut sumber itu lagi boss VW, Herbet Diess menyokong kuat akan projek berkenaan. Sekiranya ia benar-benar masuk ke pasaran kelak, ia mungkin akan dijual pada harga lebih kurang sama dengan satu lagi model prestasi di bawah payung VW Group iaitu Audi RS3.

Rekaan luaran untuk Golf ini juga didakwa sudah lengkap, menampilkan rupa yang lebih agresif dari Golf R dengan sayap hadapan yang lebar, dihasilkan bersama dimensi trek hadapan yang juga lebih lebar. Tiada versi tiga pintu untuk Volkswagen Golf Mk8 nanti, jadi model ini juga akan menggunakan asas hatchback lima-pintu.

GALERI: Volkswagen Golf R400 Concept