Ingat lagi bagaimana Proton berjaya mempertahankan produksi Saga generasi pertama dengan enjin 4G13 karburator selama 23 tahun (1985-2008)? Begitu juga apa yang dilakukan oleh Tan Chong Motor yang mampu untuk memasang dan menjual Nissan Sunny 130Y B11 selama 14 tahun (1982-1996) pada pasaran tempatan?

Sebenarnya perkara seperti ini tidak hanya berlaku di Malaysia. Land Rover Defender misalnya, ia berjaya bertahan selama 70 tahun dalam produksi di mana model Series 1 muncul pada tahun 1948 dan versi terakhir Works V8 dihasilkan pada tahun lalu. Model ikonik Volkswagen Beetle Type 1 juga berjaya mengharungi tempoh produksi yang sangat lama iaitu 65 tahun (1938-2003).

Terbaharu, Maruti Suzuki pula telah mengumumkan bahawa pengeluaran van kecil mereka iaitu Omni akan dihentikan setelah berada selama 35-tahun dalam produksi serta dijual pada pasaran India dan sekitarnya, lapor Road & Track. Ia terpaksa dilakukan kerana Omni tidak lagi mampu untuk menepati undang-undang keselamatan negara berkenaan di mana sistem brek ABS telah diwajibkan untuk semua kereta baru pada 1 April lalu, diikuti dengan beg udara pemandu pada Julai nanti.

Maruti Suzuki Omni ini sebenarnya diasaskan dari model Suzuki Carry generasi ketujuh yang muncul pada tahun 1979 di Jepun. Model pasaran India ini pula diperkenalkan pada tahun 1984 dan terus diproduksi sehingga awal tahun ini.

Berbanding Carry JDM yang dikelaskan sebagai Kei-Van dengan enjin 543 cc, Omni menerima enjin lebih berkuasa 800 cc, berkongsi dengan Maruti 800 iaitu hatchback kompak yang diasaskan dari Suzuki Fronte.

Sejak diperkenalkan sehingga kini, Omni dijual lebih dari 16 juta unit pada pasaran India dan Pakistan. Ketika kunjungan ke IESS 2019 di Chennai, India bulan lalu, saya sendiri telah menyaksikan bahawa Omni sememangnya sebuah model van kompak yang cukup popular. Ia bukan sahaja digunakan sebagai kenderaan komersial, malah masih lagi ‘ditugaskan’ sebagai ambulans dan juga teksi yang mempunyai lapan tempat duduk.