Antara cara mereka yang bertuah dapat melihat kereta yang belum dilancarkan di depan mata adalah semasa mereka melakukan penggambaran iklan di kawasan awam. Begitulah dengan jurugambar kami, yang berjaya menangkap Kia Seltos ini tanpa sebarang pelekat penyamaran.

Nama crossover segmen B baru Kia ini dapat diketahui kerana lencananya terdedah, sedangkan sebenarnya jelas ia mempunyai rekaan yang sama dengan SP Signature yang muncul sebagai sebuah konsep awal tahun ini. Seperti yang dilaporkan sebelum ini, Seltos akan menjadi sebuah model global yang akan dipasarkan di seluruh dunia, kecuali Eropah kerana tempatnya sudah diisi oleh Stonic.

Tidak banyak yang berubah daripada sebuah model konsep menjadi model produksi. Perincian bahagian depan masih sama, dengan lampu utama yang nipis – pada model konsep sedikit lebih besar – pergi kepada gril “tiger nose” serta lampu kabus LED yang duduk menegak di hujung bampar.

Turut dikekalkan adalah garis tingkap yang naik ke atas di bahagian belakang serta bumbung serba hitam yang seakan mengingatkan kenderaan ini kepada Volvo XC40. Seperti biasa, cermin sisi kereta konsep yang tidak praktikal telah diganti dengan unit yang lebih besar. Untuk rim, rekaannya masih sama, tapi kini berukuran satu inci lebih kecil iaitu 18 inci.

Bahagian dalam masih belum dapat dilihat, tetapi lukisan yang didedahkan oleh pengeluar kenderaan dari Korea Selatan ini telah menunjukkan rekaan yang kontemporari dengan skrin infotainmen seakan terapung serta kemasan metalik pada corong pendingin hawa dan konsol tengah. Kia juga memberitahu Seltos akan mendapat sistem Sound Mood Lighting yang boleh bergetar mengikut muzik.

Sama seperti Stonic, Seltos dijangka menggunakan asas yang sama seperti Rio dan mungkin ditawarkan dengan enjin yang sama, termasuk unit empat silinder petrol NA 1.25 dan 1.4 liter, tiga silinder turbo 1.0 liter petrol serta empat silinder diesel turbo 1.6 liter.