Mercedes-Benz GLB didedah – model kompak dengan pilihan tujuh tempat duduk, fungsi offroad, 4Matic

Mercedes-Benz GLB didedah – model kompak dengan pilihan tujuh tempat duduk, fungsi offroad, 4Matic

Model segmen kompak sekarang menjadi antara penyumbang penting bagi Mercedes-Benz dalam menarik pengguna lebih muda. Dengan sekarang terdapat empat produk berbeza – A-Class, B-Class, CLA dan GLA – dan pelbagai varian antaranya, pilihan adalah banyak, tetapi pengeluar itu masih dapat melihat ruang untuk satu model lagi iaitu SUV GLB.

Diangkat sebagai satu pilihan yang lebih praktikal dan luas berbanding GLA, GLB ini adalah model kompak pertama Mercedes yang datang dengan pilihan tujuh tempat duduk. Untuk memuatkan satu lagi baris tempat duduk ini, ukuran GLB dijadikan 4,634 mm panjang, 1,834 mm lebar dan 1,658 mm (1,662 mm untuk versi tujuh tempat duduk) tinggi. Ukuran jarak roda pula adalah 2,829 mm (100 mm lebih panjang berbanding B-Class baru).

Apabila diletakkan bersebelahan dengan GLA – yang sekarang ini sememangnya memerlukan pembaharuan – bezanya adalah jelas. GLB adalah 53 mm lebih panjang, 30 mm lebih lebar dan 164 mm lebih tinggi berbanding GLA, manakala jarak roda pula 130 mm lebih panjang. Semua ini adalah untuk memberikan ruang pada penumpang belakang serta barangan.

Mercedes-Benz GLB didedah – model kompak dengan pilihan tujuh tempat duduk, fungsi offroad, 4Matic

Mercedes mendakwa GLB dapat memberikan ruang kepala yang terbaik dalam segmennya iaitu 1,035 mm dan ruang kaki 967 mm untuk model lima tempat duduk, serta ruang barangan 560 liter (boleh dibesarkan menjadi 1,755 liter apabila tempat duduk belakang dilipat). Pada baris tempat duduk ketiga, ruangnya dikatakan cukup untuk orang sehingga ketinggian 168 sm, dan pemilik juga boleh menggunakan cagak ISOFIX serta cangkuk atas untuk sehingga empat tempat duduk kanak-kanak di dua baris belakang.

Rekaan badan model ini juga adalah ringkas, tidak keterlaluan dan dikatakan oleh Mercedes sebagai mirip kepada kenderaan offroad sebenar. Banyak garis berpetak digunakan termasuk pada gril, lengkuk roda, lampu serta skid plate belakang. Pemilik juga diberikan pilihan lampu utama LED, Multibeam LED dan lampu kabus LED.

Konsep offroad itu juga diteruskan pada bahagian dalam dengan rekaan biasa Mercedes diserapkan dengan sudut lebih tajam. Sementara corong udara bentuk turbin serta skrin rata besar masih dikekalkan, di depan bahagian penumpang pula terdapat kemasan plastik berwarna coklat dan di bawahnya plastik kelihatan seperti aluminium. Kemasan sama turut digunakan pada konsol tengah serta pemegang pintu.

Mercedes-Benz GLB didedah – model kompak dengan pilihan tujuh tempat duduk, fungsi offroad, 4Matic

Sudah tentu, pemilik juga diberikan dengan sistem infotainmen Mercedes-Benz User Experience (MBUX), yang ditawarkan bersama pengawal keselesaan Energizing yang kini boleh disambungkan dengan jam pintar Garmin tertentu untuk meningkatkan kecekapannya. Penumpang baris ketiga boleh menggunakan fungsi Easy Entry satu sentuhan untuk masuk dengan lebih mudah dan terdapat soket USB di belakang.

Semasa dilancarkan, GLB akan ditawarkan dengan pilihan dua enjin petrol dan diesel, bermula dengan unit empat silinder petrol M282 1.33 liter untuk GLB 200. Ia mampu menghasilkan 163 hp pada 5,500 rpm dan 250 Nm tork antara 1,600 hingga 4,200 rpm, dengan penggunaan transmisi klac berkembar tujuh kelajuan Getrag. Pergi pula kepada GLB 250, ia menggunakan enjin petrol M260 2.0 liter, yang digabungkan dengan transmisi lapan kelajuan 8G-DCT baru, untuk menghasilkan kuasa 224 hp pada 5,800 rpm dan 350 Nm tork antara 1,800 hingga 4,000 rpm.

Untuk enjin diesel, GLB 200 d dan GLB 220 d menggunakan unit OM654q 2.0 liter sama, namun dengan kuasa yang berbeza iaitu masing-masing 150 hp/320 Nm dan 190 hp/440 Nm. Kedua-duanya juga menggunakan kotak gear 8G-DCT dan mampu memberikan penggunaan bahan api antara 4.9 dan 5.0 liter bagi setiap 100 km untuk 200 d serta 5.2 dan 5.5 liter bagi setiap 100 km untuk 220 d. Ia juga menepati peraturan Real Driving Emissions (RDE) 2.

Sistem pacuan semua roda 4Matic dipasang secara standard pada GLB 250 dan GLB 220 d manakala untuk GLB 200 d ia disediakan sebagai pilihan tambahan. Pengagihan tork boleh ubah pada sistem ini menampilkan nisbah 80:20 antara roda hadapan dan belakang dalam mod Eco dan Comfort, sementara dalam mod Sport, ia menggunakan nisbah 70:30. Pakej tambahan Offroad Engineering yang datang dengan mod offroad pula dapat mengubah nisbah menjadi 50:50.

Pakej ini juga datang dengan Hill Descent Control, paparan offroad khas di skrin tengah, lampu utama Multibeam LED, serta fungsi lampu offroad yang boleh menyalakan lampu membelok pada kelajuan sehingga 50 km/j. Penyerap adaptif juga datang sebagai pilihan tambahan.

Pada aspek keselamatan, GLB ditawarkan dengan sistem bantuan pemandu yang termasuk Distronic Adaptive Cruise Control yang sekarang boleh menyesuaikan kelajuan dengan selekoh, persimpangan dan bulatan, serta penghidup automatik apabila Active Parking Assist dipilih. Fungsi Active Steering Assist pula kini datang dengan Active Lane Change Assist yang boleh menukar lorong.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required